Mufti Perak: Saya sanggup jadi perisai

Sharing is caring!

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria tidak dapat menahan sebak dan air mata apabila berkongsi dengan hadirin di Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini mengenai kisah beliau bersama Sultan Perak sebelum ini, Almarhum Sultan Azlan Shah.

Dalam ucapan alu-aluan selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Muzakarah, Harussani tidak dapat mengawal kesedihannya apabila dilihat mengesat air mata, sehinggakan juruacara majlis turut menghulurkan tisu kepadanya.

Menurutnya, semua bermula apabila beliau mencadangkan kepada Sultan Azlan Shah agar berkunjung ke kampung di pelbagai daerah untuk solat Jumaat bersama penduduk bagi mengeratkan hubungan antara sultan dan rakyat.

“Ini supaya rakyat kenal dan dapat melihat sultan mereka, bersalaman dan menegur sultan mereka…baginda setuju dan pergi dari satu masjid ke satu masjid.

“Malangnya ada satu kejadian di mana kami menerima surat menasihati supaya Tuanku jangan pergi ke satu masjid kerana ada ancaman, penderhaka,” katanya dengan nada tersangkut-sangkut sambil memberitahu ketika itu beliau sedia menawarkan diri menjadi perisai.

Hampir seminit Harussani sebak sambil diiringi air mata dan cuba menghabiskan ayat beliau tentang kesediaannya melindungi Sultan Azlan Shah walaupun insiden itu telah lama berlaku.

Dalam pada itu, beliau berkata ketika ini seolah-olah wujud keadaan rakyat semakin melupakan institusi diraja, malah lebih membimbangkan ada rakyat yang tidak mengenal siapa sultan atau raja mereka.

“Pada akhir-akhir ini raja dijauhkan daripada rakyat, sekolah tidak lagin diajar tentang sejarah raja. Saya cadangkan supaya sejarah pemerintahan diraja diperkenalkan semula di sekolah.

“Pada pandangan saya, selagi kita tidak dekatkan raja kepada rakyat dan sebaliknya, maka selamanya institusi raja akan tenggelam sedangkan raja adalah tonggak agama,” katanya.

Muzakarah bertemakan Raja: Payung Pelindung Agama selama tiga hari mulai Ahad lalu dirasmikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, hari ini.

Leave a Comment