Pencarian wakil negara ke WCOPA

Sharing is caring!

Program Worldstars – Road To Hollywood kembali mencari bakat baru dalam bidang hiburan dan peragaan untuk mewakili Malaysia bertanding ke World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Hollywood, Amerika Syarikat pada 8 hingga 17 Julai ini.
Tahun ini, pasukan Malaysia akan menyertai lima kategori iaitu vokal, tarian, lakonan dan peragaan yang turut disertai 50 negara lain. Proses mencari peserta pula dilakukan Matme Sdn Bhd yang memegang hak eksklusif acara program ini di Malaysia.
Sesi uji bakat bagi mencari peserta berpotensi berusia 13 hingga 29 tahun akan diadakan di lima lokasi di seluruh negara pada Mac ini.
Lokasi itu di Sungai Petani, Kedah (5 dan 6 Mac), Johor Bahru (12 dan 13 Mac), Kota Kinabalu , Sabah (19 dan 20 Mac), Kuala Lumpur (26 dan 27 Mac) dan Kuching, Sarawak (2 dan 3 April).
Peserta boleh bertanding solo atau secara berkumpulan yang tidak melebihi enam anggota dan dibenarkan untuk menyertai lebih daripada satu kategori. Peringkat akhir pula akan berlangsung pada 9 April ini di Kuala Lumpur.
Kejohanan WCOPA ke-20 ini pertandingan seni persembahan terbesar di dunia membabitkan lebih 80,000 peserta bersaing untuk mendapat tempat di Hollywood. Berlangsung di Long Beach Performing Arts Centre, seramai 150 penggiat seni ternama dari Hollywood, Nashville dan New York akan hadir sebagai pengadil.
Selain bertanding, peserta berpeluang menghadiri bengkel yang dikendalikan pakar dalam bidang itu.
Pengerusi Matme Sdn Bhd Romli Bidin berkata, Worldstars, Road To Hollywood mendapat sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.
“Malaysia mula hantar wakil ke WCOPA pada 2008 dan ketika itu negara ini tidak dikenali ramai. Namun, prestasi cemerlang peserta pada pertandingan itu berjaya membuat Malaysia terkenal di mata dunia,” katanya.
Romli menasihati peserta supaya membuat persediaan mencukupi apabila menghadiri sesi uji bakat.
“Peserta perlu serius kerana pertandingan ini bukan untuk suka-suka, tambahan pula bayaran RM90 akan dikenakan untuk penyertaan. Kami mahu mencari peserta yang bukan saja berbakat, tetapi juga komited. Oleh itu, tempat sesi uji bakat hanya dijalankan di lima lokasi kerana kami tidak mahu membazir masa,” katanya.
Dalam pada itu, Romli berkata, walaupun pasukan Malaysia banyak menggondol pingat di WCOPA, belum ada peserta yang bertapak di Hollywood.
“Kami akan memberi bantuan kepada peserta sekiranya mereka mahu mencipta kerjaya pada peringkat antarabangsa serta melatih mereka menjadi artis profesional,” katanya.
Pada 2014, Malaysia mencipta sejarah apabila bekas peserta Mentor Legend, Aina Ghani berjaya merangkul anugerah Grand Champion of the World menerusi kategori Vokal Senior.
Selain itu, kumpulan penari Zeppo Youngsterz Crew turut dinobatkan juara kategori Tarian Junior.
Maklumat lanjut mengenai sesi uji bakat Worldstars – Road to Hollywood boleh melayari laman web www.worldstars.com.my.

Leave a Comment