‘Singa rambut merah’ dibenci

Sharing is caring!

Gara-gara melakonkan watak antagonis dalam drama bersiri Sha & Shah, pelakon Shima Anuar mengakui dirinya turut dibenci pengikut di laman sosial. Malah, kata Shima ada yang menggelarnya ‘singa rambut merah’ kerana rambutnya yang diwarnakan demi merealisasikan watak Atilia dalam drama bersiri itu.
“Ini kali pertama saya merahkan rambut demi memenuhi tuntutan karakter sekali gus menampilkan kelainan dalam lakonan. Saya juga akui ramai peminat bencikan saya kerana karakter Atilia.
“Malah, saya dapat komen di laman Twitter setiap hari peminat marah kerana tidak suka karakter Atilia yang jahat itu,” katanya.
Namun, kata Shima, dia tidak risau dibenci penonton kerana percaya peminat sekarang sudah bijak menilai ia sekadar lakonan semata-mata.
“Saya juga puas kerana watak itu beri impak pada lakonan dan semakin ramai nampak bakat saya dalam bidang seni tanah air,” katanya.
Mengulas lanjut watak Atilia pula, kata Shima, dia adalah anak kepada bos di syarikat Sha bekerja.
“Atilia agak serius, ‘bossy’ dan dia tergila-gilakan Shah sampaikan sanggup berebut untuk merampas Shah daripada Sha. Dari segi cabarannya pula sepanjang penggambaran drama ini, saya perlu serius dan tidak ada langsung babak yang menunjukkan Atilia seorang yang baik,” katanya.
Lebih memberangsangkan kata Shima, drama bersiri Sha & Shah turut mencatat rating tertinggi untuk drama rantaian sejak bersiaran di Astro Ria, Januari lalu.
“Alhamdulillah, drama Sha & Shah mendapat sambutan ramai. Bagi saya kekuatan cerita ini kerana jalan ceritanya yang ringan, tidak meleret dan penonton tidak bosan dengan setiap babak dalam cerita ini.
“Selain pengarah yang menjaga kualiti drama dihasilkan, barisan pelakon juga berjaya membawa watak masing-masing dengan baik,” katanya.
Drama romantik komedi arahan Eyra Rahman ini diterajui gandingan mantap pelakon Kamal Adli dan Syatilla Melvin.
Selain drama Sha & Shah, lakonan Shima yang masih ditayangkan ialah drama bersiri 30 episod, Memori Cinta 3 di saluran HyppTv.
Tidak kisah digandingkan dengan Arja
Pelakon yang pernah dikaitkan dengan Arja Lee ini mengakui mereka masih berkawan.
“Kami tidak ada sebarang masalah pun dan tidak kisah jika ada yang mahu kami berlakon bersama dalam drama dan filem,” katanya.
Ditanya mengenai isu Arja dikecam peminat selepas memuat naik video menimang bola dengan hanya berseluar dalam, Shima enggan mengulas lanjut.
“Saya tiada mahu komen isu itu kerana ia membabitkan cerita peribadinya dan tiada kaitan langsung dengan saya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, tahun ini Shima sambung kontrak lagi dengan pengurusan MIG.
“Saya akan berlakon dalam filem baru, tetapi ia masih dalam perbincangan,” katanya.
Antara filem lakonannya sebelum ini, Highland Tower, Nasi Tangas dan filem komedi seram, Keranda Tokwan Terbang.

Leave a Comment