Episod cinta Bella

Sharing is caring!

Tindakan kekasihnya pelakon, Nazim Othman, 32, melamarnya di lokasi penggambaran drama Akulah Balqis di Langkawi pada 26 Oktober tahun lalu nyata mengejutkan Bella Dally, 25.

Bella atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally ketika itu langsung tidak menyangka Nazim berbuat sedemikian memandangkan mereka sibuk di lokasi.
“Malam itu adalah babak terakhir membabitkan saya, tetapi saya pelik kerana Nazim masih berada di lokasi. Ini kerana kebiasaannya dia akan balik ke hotel penginapan jika babaknya sudah tamat.
“Selain itu, dia juga muncul dengan berpakaian kemas. Sikapnya itu menimbulkan tanda tanya, tetapi saya masih tidak tahu perancangan di sebaliknya.
“Kemudian saya lihat beberapa kru memegang telefon bimbit. Terdetik di hati mengatakan dia mahu melamar saya dan meminta kru terbabit merakamkannya. Ternyata gerak hati saya betul apabila selepas itu dia mengeluarkan cincin dan menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan saya,” katanya.
Nazim kemudian menghantar rombongan meminang dan seterusnya mengikat tali pertunangan pada 14 November tahun lalu.
Pada majlis di kediaman Bella di Kota Kinabalu, Sabah, Nazim berada di Korea Selatan bagi menjalani penggambaran drama berjudul Cinta Teruna Kimchi.
Menurut Bella, keputusan itu membuktikan dia sudah bersedia melangkah ke alam perkahwinan.
“Sejujurnya, soal perkahwinan ini sudah lama diperkatakan iaitu sejak kami mula berkawan. Namun, perkara itu tidak pernah dibawa berbincang secara serius memandangkan kami belum bersedia.
“Tambahan pula ketika itu saya masih muda dan baru bergelar pelakon. Jadi saya hanya ikut aturan. Apabila betul-betul sudah bersedia, baru kami berani membawa hubungan ini ke fasa seterusnya iaitu bergelar suami isteri,” katanya.
Pernah melalui pasang surut perhubungan, episod putus cinta bersama Nazim pada 2014 membuatkan mereka lebih matang dalam menghargai perhubungan dibina.
“Tempoh kami putus tidak lama. Malah, sepanjang tempoh itu, kami masih berkomunikasi. Namun, disebabkan masih ada perasaan cinta dan sayang, kami kembali bersama.
“Itu yang dikatakan jodoh. Saya percaya ini semua sudah tertulis dan ditetapkan Allah. Kiranya, keputusan berkahwin adalah pilihan terbaik buat kami,” katanya.
Menyifatkan Nazim jejaka yang jujur dan tegas dalam segala hal, Bella yakin jika pelakon Awan Dania itu mampu melindungi dan menyayanginya sepanjang masa.
“Apabila bersamanya saya berasa selamat. Walaupun dia jenis tegas dalam membuat keputusan, saya percaya itu adalah yang terbaik buat kami. Malah, sikapnya itu membuktikan dia sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai suami.
“Bagi diri sendiri, ketika ini perasaan saya bercambur baur. Dalam pada gembira, saya juga gementar nak menanti hari bersejarah kami. Saya harap semoga semuanya berjalan lancar dan berdoa segala perancangan dipermudahkan,” katanya.
Janji Bella, dia dan Nazim tidak akan berahsia mengenai tarikh pernikahan mereka sekiranya segala persiapan sudah sedia.

Leave a Comment