‘Mr Pulau Pinang’ membara

Sharing is caring!

Jejaka yang mahu dikenali dengan nama Alex Faizal, 30, yang baru saja mencuba nasib dalam bidang seni ini sanggup berhenti kerja dengan sebuah syarikat insurans demi mengejar impiannya dalam dunia lakonan.

Meskipun akan menerima saingan dan cabaran, namun Alex atau atau nama sebenarnya Mohd Faizal Mohd Diah tidak gentar kerana jika hasrat hatinya itu dipendam, jiwanya tidak akan tenteram.
“Belum cuba belum tahu. Saya mesti berusaha kerana bagi saya lakonan adalah satu cabang seni yang menjanjikan keunikan dan pengalaman luar biasa. Ketika masih bekerja, saya sentiasa mencari peluang pergi ke uji bakat namun agak sukar untuk mencari masa terluang.
“Minat yang terus membara untuk berlakon membuatkan saya terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja kerana saya tidak mahu menyusahkan majikan. Jika saya kerap bercuti, tidak adil pula untuk rakan sekerja yang lain. Kini selepas berhenti tiada apa yang dapat menyekat pergerakan saya lagi. Sekarang terdengar saja ada syarikat produksi mahu mencari pelakon baru saya akan pergi mencuba.
“Hasilnya, saya ditawarkan berlakon dalam drama Tundukkan Playboy Itu. Walaupun diberikan watak pembantu namun ia peluang yang baik untuk saya membuktikan bakat yang ada,” katanya.
Kata bekas peserta Mr Planet 2015 ini, dia akan terus berusaha untuk membina namanya. Dalam drama bersiri itu dia turut berlakon dengan Mawar Rashid juga artis baru yang menempa populariti.
“Sebagai permulaan saya terima saja watak yang diberi dan percaya peluang lain akan datang kemudian. Saya tidak boleh memilih watak sebaliknya mesti belajar untuk menjadi pelakon yang bagus,” katanya.
Alex yang mempunyai ketinggian 175 sentimeter juga sangat mengambil berat mengenai susuk tubuhnya sesuai gelaran yang dipegangnya iaitu Mr Pulau Pinang namun dia tidak terlalu mengawal dietnya.
“Saya makan apa saya yang teringin namun saya kerap bersenam di gimnasium untuk memperkemaskan tubuh bagi memastikan sentiasa sihat dan cergas,” katanya.
Alex yang memiliki senyuman menawan dan pernah pula bekerja dalam lapangan yang memerlukannya sentiasa berhubung dan berkomunikasi dengan orang ramai, kelebihan yang ada padanya itu membuatkan dirinya disenangi ramai.

Leave a Comment