Artis popular jayakan Pameran & Konsert Diraja

Sharing is caring!

SEBUAH acara gilang gemilang, Konsert Dan Pameran: Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada bakal berlangsung di Istana Budaya pada 24 hingga 27 Februari 2016.

Acara yang dianjurkan Luhur Nurani dengan kerjasama Persatuan Siswazah Warisan, Pertubuhan Strategis Bersatu dan Yayasan ALMAS itu diadakan bersempena dengan memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan ke-85, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Pengerusi Jawatankuasa Induknya, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali berkata, acara itu merupakan julung kalinya diadakan di peringkat nasional.

“Ia bermula dengan Pameran Diraja diikuti dengab acara kemuncak persembahan Konsert Diraja yang diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya, pada 27 Februari depan, jam 8.30 malam.

“Melalui Pameran Diraja itu, kita akan mengetengahkan beberapa segmen bermula daripada sejarah, latar belakang dan aktiviti baginda,” katanya.

Katanya, dalam Konsert Diraja pula, bakal menghimpunkan barisan artis popular yang pernah diberi penghormatan menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk daripada Istana Abu Bakar Pekan, Pahang.

“Nama-nama seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Hattan, Datuk Rossa, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Yusni Hamid, Datuk Arumugam dan beberapa lagi yang mendapat penghormatan daripada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah akan bersama-sama meraikan detik ulang tahun kepute­raan baginda.

“Ia bukanlah sekadar konsert biasa yang penuh dengan lagu-lagu harmonis sebaliknya bakal mendepani cabaran yang lebih besar maknanya termasuklah dalam memberi prestij lebih tinggi dan indah kepada kerja anak-anak seni kita sendiri,” katanya.

Pada masa sama, katanya, acara ini juga bertujuan untuk mengumpul dana berbentuk kewangan melalui penjualan tiket konsert.

“Dana yang dikumpul akan disalurkan sebagai dermasiswa bagi membantu anak-anak golongan kurang berkemampuan di luar bandar dan pedalaman termasuk anak yatim.

Oleh itu, kita menyeru syarikat-syarikat korporat, agensi atau mana-mana pertubuhan untuk sama-sama membantu menjayakan acara ini,” katanya.

Tiket-tiket dijual bermula hari ini dengan kadar harga dari RM500 hingga RM3000.

Leave a Comment