Fenomena air pasang besar terburuk dalam 30 tahun

Sharing is caring!

Penduduk di Kampung Tengah, Mengabang Telipot dan Kampung Tanjung Gelam, Batu Rakit, dekat sini menyifatkan fenomena air pasang besar yang melanda kampung mereka hingga menyebabkan beberapa buah rumah penduduk kampung rosak adalah yang terburuk dalam tempoh 30 tahun.

Mohamad Yahya Muda, 53, seorang penjawat awam berkata kejadian dua hari lalu itu adalah yang terburuk pernah dialaminya yang menyebabkan rumah pusaka yang didiaminya bersama lima anggota keluarga yang lain rosak teruk.

Katanya walaupun hampir saban tahun kejadian ombak besar dan angin kencang dialami mereka sekeluarga tetapi apa yang berlaku kali ini adalah yang paling teruk sehingga mengakibatkan beberapa bahagian rumah rosak teruk dipukul ombak.

“Setiap kali tiba musim tengkujuh kami tidak terlepas dengan fenomena seperti ini bagaimanapun air laut tidak pernah melimpah sehingga ke dalam rumah.

“Tapi kejadian kali ini memang teruk bukan sahaja air memasuki ke dalam kediaman malahan rumah kami rosak dan terpaksa menumpang berteduh di rumah saudara terdekat,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Katanya, jika fenomena tersebut berterusan dalam tempoh yang agak lama, hakisan teruk akan terjadi dan menjejaskan kira-kira 20 buah rumah penduduk kampung yang berdekatan dengan pantai di kampung berkenaan.

Selain itu Mohamad Yahya berkata keindahan pantai kampung tersebut yang turut menjadi tarikan pelancongan di kawasan Kuala Terengganu juga mungkin akan hilang akibat fenomena tersebut.

Seorang lagi penduduk Abd Rahman Bakar, 66, berkata kejadian itu juga memaksa penduduk yang tinggal di pesisir pantai berkenaan berpindah ke lokasi lain setelah ombak besar mula memasuki kediaman mereka kira-kira 9 malam.

“Ia ibarat mimpi ngeri buat kami dan sepanjang menetap di Kampung Tanjung Gelam ini walaupun sudah lali namun kami tidak pernah mengalami situasi seteruk ini.

“Sekarang hendak duduk dan balik rumah pun rasa sudah tidak selamat sebab jarak antara pantai dengan rumah sudah terlalu hampir…malam kami tumpang tidur di rumah saudara dan pagi balik untuk tinjau kawasan rumah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri menerusi Jabatan Pengaliran dan Saliran telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan tindakan awal bagi mengatasi ancaman itu.

Sementara itu tinjauan Bernama di lokasi terjejas mendapati kerja-kerja penambahbaikan dan menambak pantai menggunakan batu-batan sedang giat dijalankan.

Leave a Comment