Akim, Stacy idam cuti kelilingi Eropah

Sharing is caring!

Mengimpikan destinasi bulan madu mengelilingi Eropah berbekalkan beg galas, pasangan pengantin baharu, Akim, 25, dan Stacy, 26, bagaimanapun belum mempunyai sebarang perancangan mengenai percutian kerana sibuk merencana kerjaya seni masing-masing. Kekangan masa menjadi punca utama pasangan selebriti kelahiran program Akademi Fantasia itu menangguhkan hasrat mereka untuk menjelajah benua berkenaan buat sementara waktu. Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad berkata, beliau bakal terbang semula ke Kuala Lumpur bagi menyempurnakan tugas sebagai mentor kepada dua protegenya dalam program Mentor Milenia, siaran TV3. “Saya dan Stacy merancang untuk mengelilingi Eropah sebagai ‘backpacker’ (pengembara beg galas). Duduk minum menikmati kopi bertemankan pandangan menarik. “Namun buat masa ini, kami berdua sibuk dengan kerjaya seni masing-masing. Saya masih memikul tanggungjawab membantu dan mendidik dua protege dalam program Mentor Milenia,” katanya kepada BH Online, di sini hari ini. Mengulas mengenai perihal anak, Stacy atau nama Islamnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam, menyerahkan sepenuhnya kepada rezeki dan takdir yang ditulis oleh Allah. “Kami tidak mempunyai sebarang perancangan mengenai zuriat dan menyerahkan segala-galanya kepada Yang Maha Kuasa. Sebenarnya, ada pelbagai permintaan daripada kedua-dua belah pihak mengenai seramai mana anak yang diinginkan. “Anak angkat saya, Bella, turut teruja dengan majlis pernikahan ini. Malah, dia menganggap dirinya akan turut berkahwin pada hari ini, bersama-sama saya dan Akim,” ujarnya sambil tertawa.

Leave a Comment