Al-Quran & Sains: Dalami fenomena alam semesta

Sharing is caring!

MENYEDARI penubuhannya sejak awal dalam menggalas tanggungjawab menyebarkan kefahaman Islam dan pengetahuan berguna kepada masyarakat Islam mahupun bukan Islam, stesen televisyen TV Alhijrah komited dalam menerbitkan pelbagai rancangan dan program berkaitan demi kepuasan penontonnya.

Kerana itu, pemilihan rancangan siaran adalah dengan menumpukan kepada rancangan-rancangan yang mampu  untuk menyatupadukan ummah menerusi pemahaman Islam dan pembangunan nilai-nilai murni.

Merealisasikan misi tersebut, sebuah rancangan istimewa dengan judul Al-Quran & Sains telah diterbitkan.

Menurut penerbitnya, Nur Aqidah Ahmad Radzi, Al-Quran & Sains merupakan sebuah rancangan berbentuk dokumentari yang memberi fokus kepada perbahasaan fakta- fakta di dalam al-Quran selari dengan penemuan sains pada zaman moden ini.

“Al-Quran banyak membicarakan soal sains, fizik, kimia, astronomi, biologi dan seluruh ilmu alam yang lain untuk manusia berfikir, menyelongkar, mengkaji dan akhirnya membuat rumusan yang mampu menjadi jambatan kehidupan dunia menuju akhirat.”

“Oleh yang demikian rancangan ini sangat bertepatan diketengahkan kepada penonton kerana mereka mendapat penerangan jelas mengenai fenomena alam semesta.

“Ini termasuklah seperti kejadian manusia, haiwan dan tumbuhan daripada sisi pandangan saintifik yang diterjemahkan dengan dengan lebih baik,” katanya.

Tambah Nur Aqidah, rancangan ini juga dilihat mampu menjadi medium atau wacana dakwah yang membuktikan bahawa al-Quran terlebih dahulu membicarakan hal yang serupa sedari awal lagi.

“Ia sekali gus membuktikan kebenaran sumber rujukan Islam yang tertinggi iaitu al-Quran Al-Karim sebagai sebuah rujukan lengkap membatasi zaman dan waktu,” katanya.

Sebuah perkongsian

Nur Aqidah juga menjelaskan, penerbitan rancangan ini bertujuan berkongsi dengan umum, bahawa fakta dan penemuan sains di abad ini telah lama diungkai dan diceritakan di dalam kitab suci al-Quran.

“Al-Quran harus dipelajari, diteliti dan dikaji bagi membongkar rahsia alam dan sains bagi manfaat kehidupan ummah jelasnya.

“Maka tidak hairanlah, fakta-fakta sains yang dipaparkan dalam al-Quran menakjubkan para saintis moden sehingga ada yang memeluk Islam hanya kerana satu ayat dalam al-Quran.

“Lihat sahaja kepada kisah Dr Maurice Bucaille. Kajian ke atas mumia telah membuka hati beliau untuk memeluk Islam,” katanya.

Menerusi Al-Quran & Sains, terdapat paparan mengenai temu bual bersama pakar daripada seluruh dunia termasuk pakar sains tempatan dan antarabangsa yang membincangkan mengenai topik terpilih.

Antara mereka yang telah ditemu bual adalah Sheikh Yusuf Estes, Dr Garry Miller, Jamal Zaraboza, Abdul Rahim Green dan Dr Murad Hoffman.

Beberapa bahan rujukan utama turut diguna pakai dalam membahaskan tajuk-tajuk pilihan setiap episod.

Antara bahan-bahan ilmiah yang digunakan adalah seperti The Unchallengeable Miracles of the Qur’an, Islamic Medicine, The Islamic Guideline On Medicine, Scientific Miracles in the Oceans and Animals, Men & The Universe, Reflection of Ibn Al-Qayyem dan Ocean & Animals, Yusuf Al-Hajj Ahmad.

Disiarkan setiap Jumaat pada jam 8.30 malam, rancangan yang disiarkan selama 30 minit ini mempunyai 26 episod.

Leave a Comment