Peminat SO7 Disaran Naik LRT ke konsert 27 Mac Ini

Sharing is caring!

Peminat tegar band popular Indonesia Sheila On 7 (SO7) digalakkan menaiki pengangkutan awam untuk ke konsert kumpulan ini yang akan berlangsung pada 27 Mac bertempat di StarXpo Hall, Kenangan Wholesale Center (KWC) Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan Mawlaya Network Sdn Bhd, Redzuan Ramli selaku penganjur berkata, pemilihan lokasi konsert tersebut selepas mengambil kira kemudahan yang tersedia di sekeliling kawasan berkenaan termasuklah kemudahan pengangkutan awam seperti LRT dan monorail.

“Penganjur lain kebanyakannya memilih stadium. Memang perancangan awal pihak kami memilih Stadium Negara tetapi ada beberapa masalah menyebabkan venue terpaksa ditukar di tempat lain.

“Kapasiti KWC boleh memuatkan antara tujuh hingga 10 ribu penonton dan ruang letak kereta juga banyak. Selain itu venue ini terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur dan di sekelilingnya mempunyai kemudahan termasuklah pengangkutan awam sekaligus memudahkan peminat merancang perjalanan.

“Peminat juga digalakkan menaiki pengangkutan awam bagi mengelak dari kesesakan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert 20 Tahun Sheila On 7, bertempat di Equestrian Country & Club, Bukit Kiara.

Pada konsert yang berdurasi selama 2 jam setengah itu bakal menyaksikan kehebatan SO7 memperdengarkan deretan lagu hits mereka dari album pertama hingga terkini.

SO7 bakal mengubat kerinduan peminat terhadap grup handalan ini terutamanya peminat setia mereka yang dinamakan SheilaGank dengan lagu antaranya Dan, Sephia, Seberapa Pantas dan Melompat Lebih Tinggi.

Ditubuhkan sekitar tahun 1996, SO7 dianggotai oleh Duta, Eross, Adam dan Brian. Selama 20 tahun bertapak dalam industri muzik, kumpulan ini bukan saja terkenal di Indonesia malah di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Kali terakhir mereka membuat persembahan di Kuala Lumpur sekitar 2013.

Sementara konsert 20 Tahun SO7 turut dihangatkan lagi dengan penampilan Noh Salleh dan Restoe Ibu Band yang akan membuat persembahan pembukaan.

Tiket-tiket berharga RM75, RM110, RM150 dan RM190 telah mula dijual sejak dua minggu lalu dan setakat ni sebanyak 1000 tiket telah habis dijual.

Maklumat lanjut, layari www.ilassotickets.com.

Leave a Comment