Pengarah, pelakon Ola Bola menangis

Sharing is caring!

BERPELUANG bertemu dengan pengarah dan beberapa pelakon filem Ola Bola, ada soalan yang terus terbit di benak, adakah mereka rasa apa yang penonton rasa atau ini hanya sekadar filem yang ‘dikerjakan’ mereka untuk mengejar waktu tayangan?

Ola Bola yang mula ditayangkan 28 Januari lalu mendapat tempat di hati penonton dari pelbagai lapisan masyarakat yang mengingatkan kita tentang semangat muhibah yang wujud sejak dahulu lagi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pengarahnya, Chiu Keng Guan akui tidak dapat menahan sebak hingga menitiskan air mata menonton babak-babak yang menyentuh perasaan meskipun jalan cerita itu merupakan arahannya sendiri.

“Ketika sudah siap ‘editing’, saya tonton dan saya memang menangis sebab saya rasa, cantiknya Malaysia ini,” katanya kepada Sinar Online ketika kunjungan produksi Ola Bola ke Kumpulan Media Karangkraf, di sini hari ini.

Tidak terkecuali, dua pelakonnya yang sempat ditemubual, JC Chee dan Luqman Hafidz masing-masing membawa watak Tauke dan Ali.

“Saya memang menangis ketika menonton kembali babak dalam bilik persalinan (Malaysia melawan Korea Selatan). Babak itu memang menyentuh perasaan. Bahkan sebelum penggambaran bermula pun, ketika mendapat skrip saya dapat rasakan perasaan itu.

“Jadi apabila kita semua buat betul-betul, lagilah menyentuh hati. Saya tengok berkali-kali pun tetap rasa sebak itu,” katanya.

Sementara Luqman memberitahu, dia menangis ketika menonton Ola Bola apabila mengimbau kembali perjalanannya bersama rakan-rakan pelakon lain sepanjang produksi.

“Apatah lagi apabila orang sebelah saya teresak-esak, memang rasa sebak itu terus naik,” katanya.

Mereka juga akui melalui penggambaran yang sukar apatah lagi babak latihan ketenteraan di mana pengarah menuntut pelakon-pelakonnya melakukan setiap aksi dengan sepenuh hati.

“Babak-babak di situ semua kami buat sendiri. Malah babak kami main bola juga betul-betul dibuat.

“Apa yang menjadikan cerita ini cantik apabila pengarah telah menyemaikan dalam setiap kru produksi bahawa ini filem kita, kerjasama…tiada ‘superstar’. Ke mana-mana pun dalam mempromosikan filem ini, kami menonjolkan Ola Bola itu bukan diri sendiri,” kata Luqman yang merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Ola Bola diilhamkan daripada peristiwa kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan dalam perjuangan menyertai Sukan Olimpik Moscow pada 1980 yang menampilkan barisan pelakon baharu tanah air.

Leave a Comment