Miera Leyana maafkan Afiq Muiz

Sharing is caring!

Pelakon, Miera Leyana, 22, mengakui terkilan apabila rakan seperjuangan, Afiq Muiz, membuat pengakuan mereka pernah bercinta. “Saya tidak tahu kenapa Afiq membuat kenyataan itu. Saya tidak marah jika dia meluahkan perasaan tetapi kenapa tidak terlebih dulu datang berbincang. “Saya sibuk menguruskan perniagaan dan perjalanan kerjaya seni juga semakin lancar. Kenapa perlu saya rosakkan semua itu dengan kontroversi murahan ini? “Saya tidak mahu disebabkan pengakuannya itu, banyak pihak keliru. Sebelum ini, saya begitu berhati-hati memberikan kenyataan kerana enggan hubungan baik kami disalahertikan. “Saya kesal kerana Afiq terlalu mengikut emosi dan tidak memikirkan kesan perbuatannya itu kepada orang lain,” kata Miera, yang mencipta nama menerusi filem Dendam Orang Mati dan Apokalips. Hubungan mesra Miera dan Afiq sebelum ini mencetuskan tanda tanya apabila mereka dilihat begitu akrab sepanjang lebih setahun menjalani penggambaran drama rantaian, Memori Cinta Suraya. Kemelut mula tercetus apabila Afiq, baru-baru ini membuat pengakuan mereka pernah bercinta, namun dinafikan oleh Miera. “Kenyataan Afiq seolah-olah tidak menghormati perasaan saya dan keluarga. Saya cuma anggap Afiq sebagai teman baik kerana sepanjang penggambaran drama itu kami selesa bersama. Memang saya menyayanginya tetapi hanya sebagai kawan, tidak lebih daripada itu. “Saya ada menghubungi Afiq untuk meminta penjelasannya mengenai perkara itu. Dia mengakui kesilapannya dan memohon maaf. Saya sedia lupakan semua itu kerana masih sayangkan Afiq sebagai kawan,” katanya. Miera berkata, selama berkawan, dia tidak pernah memberi harapan kepada pelakon itu kerana sudah mempunyai pilihan hati. “Afiq tahu mengenainya, malah saya selalu mengingatkannya antara kami hanya sekadar kawan baik. Apabila masing-masing memberi kenyataan yang bercanggah, saya bimbang orang akan menganggap Afiq syok sendiri. Saya perlu menjelaskan situasi sebenar supaya tidak timbul kekeliruan. “Afiq perlu banyak belajar mengenai perkara ini dan saya tidak pernah terlintas untuk mengaibkannya,” katanya.

Leave a Comment