Ola Bola: 55 kali ‘take’, bola tak juga gol

Sharing is caring!

KRU produksi filem Ola Bola terpaksa mengulang babak sama sebanyak 55 kali gara-gara gol gagal dijaringkan pada babak perlawanan bola sepak.

Ini yang didedahkan pengarahnya, Chiu Keng Guan dalam kunjungannya ke Kumpulan Media Karangkraf, baru-baru ini.

Bagaikan tidak percaya beliau sanggup mengulang babak sama sebanyak itu, bukan mendera atau terlalu mengejar sempurna namun katanya, ini demi penonton percaya bahawa perlawanan yang ditonton mereka dalam Ola Bola seperti perlawanan sebenar.

“Dalam penggambaran kami (untuk babak perlawanan bola sepak), memang tiada ‘cut’. Hanya ‘one shot’ dari awal sampai gol. Ada satu babak, Malaysia melawan Filipina, kami buat 55 ‘take’, tapi tak gol. Mereka cuba tapi tak gol, jadi kena mula dari awal semula.

“Ini memang susah tapi apabila ia siap, anda boleh percaya bahawa ini seperti perlawanan sebenar,” katanya kepada Sinar Online.

Menafikan tujuannya mengambil pelakon baharu kerana bayaran yang murah, Keng Guan berkata beliau memerlukan pelakon yang boleh bermain bola.

“Jika pelakon itu tidak pandai main bola, kita susah nak buat penonton percaya. Bukan kerana bayaran murah tapi pelakon baharu lebih mudah untuk diajar…tak murah juga kerana kita perlu menghantar mereka pergi ke kelas latihan berlakon.

“Kalau pelakon profesional, kita hanya perlukan satu kamera kan? Tapi mereka ini tak boleh. Kami perlukan tiga kamera kerana apabila tukar ‘angle’ mereka salah, tak ‘conti’, jadi, lagi banyak kos di situ,” katanya.

Ola Bola mempertaruhkan barisan pelakon utama yang baharu dalam dunia lakonan namun rata-rata pelakon itu memang boleh bermain bola dengan agak baik.

Dalam pada itu, menyentuh soal impak filem itu kepada penonton, Keng Guan memberitahu beliau tidak pernah dengan sengaja mahu mencipta sesuatu untuk menggalakkan rasa muhibah dalam kalangan masyarakat hari ini.

“Tapi cerita ini sangat cantik kerana ia tentang sebelum era kegemilangan bola sepak kita. Jadi, di dalam itu sebenarnya semangat berpasukan yang sangat kuat.

“Saya rasa semangat itu memang sudah ada (dalam kalangan penonton) jadi, apabila mereka menonton, mereka dapat rasa bahawa mereka (kembali) dah ada semangat itu,” katanya.

Namun, terselit juga rasa tanggungjawab beliau untuk membawa perasaan di saat kegemilangan pasukan bola sepak negara yang layak ke Olimpik itu kepada generasi muda.

“Kerana mungkin ramai yang tidak tahu pasukan negara dulu seperti ini. Saya hanya mahu mereka tahu.

“Saya sangat gembira apabila selepas menonton, banyak yang mencari tahu tentang apa yang berlaku pada ketika itu. Ini petanda yang bagus,” katanya yang mengambil masa setahun hanya untuk membuat kajian dan menyiapkan ‘props’.

Ola Bola baharu terpilih untuk ke Festival Golden Horse di Taiwan, April ini di mana filem itu merupakan filem Malaysia pertama yang dipilih.

Katanya, pihaknya juga telah dirisik Singapura yang berminat dengan Ola Bola namun ia masih dalam perbincangan.

“Ini perkembangan yang bagus kerana apabila orang luar melihat rakyat kita menyokong filem ini, mereka juga berminat untuk mengetahui.

“Jadi, saya rasa sokongan rakyat Malaysia sendiri sangat penting, dengan itu baru kami dapat melangkah lagi ke depan,” katanya.

Leave a Comment