‘Anugerah cukup bermakna’

Sharing is caring!

Pengorbanan dicurahkan Ziela Jalil, 45, untuk membangunkan industri seni tempatan dalam penerbitan drama melalui produksinya, Pena Creative Pictures Sdn Bhd (PCPSB), mendapat perhatian Kerajaan Negeri Pahang.
Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Bllah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’Ayatuddin Al-Mu’Adzam Shah ke-85, dia dikurniakan darjah kebesaran Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Datuk.
Ziela yang menghambakan diri dalam dunia seni hampir 30 tahun sebagai pelakon, penyanyi dan penerbit, menerima anugerah darjah kebesaran terbabit di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, semalam.
Ziela atau Norzilah Abdul Jalil akui terharu dan berbesar hati dengan pengiktirafan diberikan. Malah sewaktu dihubungi, dia mengakui tidak menyangka akan diberikan pingat atas usahanya selama ini.
Katanya, dia terharu apabila karya dihasilkan PCPSB turut mendapat perhatian pihak istana. Selain sambutan baik penonton, karya dihasilkan juga mendapat pengiktirafan apabila empat kali memenangi Drama Terbaik di Anugerah Skrin.
“Saya tidak menyangka Tuanku mengikuti perkembangan saya dan usaha yang dijalankan PCPSB hingga berhajat untuk memberikan imbuhan atas usaha dilakukan.
“Sejujurnya, saya tidak mengharap tetapi apabila hasil kerja saya dihargai sudah tentu saya terharu dan sangat berterima kasih kepada Tuanku dan Kerajaan Negeri Pahang atas anugerah diberikan,” katanya.
Kata Ziela, sudah tentu pingat yang membawa gelaran Datuk itu memberi makna tersendiri buat dirinya seterusnya meningkatkan semangatnya untuk terus menghasilkan karya terbaik.
“Selepas hampir 30 tahun bekerja keras menjadi anak seni dan membangunkan industri dengan hanya menghasilkan drama terbaik, akhirnya saya memperoleh hadiah yang cukup bermakna.
“Hasil kerja dan usaha saya selama ini bukan saja diktiraf penggiat seni itu sendiri tetapi juga pemerintah negeri,” katanya.
Ziela akui untuk mendapatkan karya yang baik biasanya memakan kos sangat tinggi. Malah pernah drama yang dihasilkan tidak memperoleh keuntungan langsung.
“Walaupun begitu saya berpuas hati apabila drama berkos tinggi itu mendapat pujian daripada penonton dan ia diiktiraf di majlis anugerah. Kadang­kala ada perkara dilakukan kita tidak harus memikirkan soal keuntungan semata-mata.
“Pengorbanan yang dilakukan pasti akan mendapat balasannya dan sebagai bukti apabila Kerajaan Negeri Pahang sendiri mengiktiraf apa yang produksi saya lakukan selama ini,” katanya.
Wanita kelahiran Parit Buntar, Perak ini mula dikenali melalui filem komedi Mr Os, Perawan Malam, Ujang, Konstabel Mamat, Rentak Desa, Rozana Cinta 87 dan Kayangan.
Ziela turut berlakon dalam filem Indonesia seperti Tarzan Rimba (bersama Barry Prima), Pancasona, Jurus Dewa Naga dan Pendekar Mata Satu.
Kata Ziela, pihaknya kini sibuk menerbitkan drama bersiri yang diadaptasi daripada drama 7 Hari Mencintaiku untuk Astro Ria dan satu lagi drama bersiri untuk TV3 mengisi slot Akasia.
“Dalam waktu sama saya juga dalam perancangan menerbitkan filem sulung dan ia akan dilakukan bersama Astro Shaw. Segala-galanya masih dalam perbincangan dan sekiranya kata putus dicapai, satu sidang media mengenainya akan dilakukan,” katanya.
Waktu sama, Ziela juga menjalankan perniagaan tudung dan sering dipromosikan di laman sosial. Katanya, dalam hal ini dia hanya membantu anaknya, Julia untuk memulakan perniagaan sendiri.
“Ia lebih kepada selendang dan diberi nama Black Swans. Segala-galanya bermula apabila ramai yang bertanya kepada Julia mengenai gaya tudung digunakan. Memang sejak dulu dia suka memakai selendang.
“Jadi saya ajar dia untuk menjadikan ia satu perniagaan dengan menghasilkan selendang sama corak dengan yang sering dia gunakan. Sekurang-kurangnya dalam sibuk belajar, waktu sama dia boleh dapat duit poket,” katanya.
Menjadi ibu tunggal selepas kematian suami, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob pada 24 Januari 2008, Ziela membesarkan dua anaknya, Puteri Julia Nabilah, 22, dan Megat Jufri Nasrullah, 20. Ziela juga mempunyai anak angkat, Ibrahim Junid Abdullah, 2.

Leave a Comment