Berdebar menanti Usin UFO

Sharing is caring!

Lama tidak mendengar berita Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin selepas berhenti daripada dunia lakonan. Bagaimanapun, Sarah kini bimbang apabila filem lakonannya, Usin UFO akan ditayangkan bulan depan.
Bakal ditayangkan di pawagam pada 10 Mac depan, Sarah akui bimbang dengan pandangan masyarakat terhadap penampilannya dalam filem itu.
Katanya, ketika berlakon dalam filem arahan Zul Yahya itu dia belum lagi bertudung dan berharap penonton faham keadaannya ketika itu.
“Saya menjalani penggambaran filem itu pada 2012 dan mula bertudung pada 2013. Bagaimanapun, filem itu bakal ditayangkan pada 10 Mac depan.
“Memang saya berdebar menantikan maklum balas penonton terhadap naskhah itu. Saya harap penonton tidak menghukum saya dan tidak timbul kekeliruan.
“Dalam filem itu, saya memegang watak Husna, gadis kampung. Syukur kerana dalam filem itu pakaian saya sopan sesuai dengan watak. Walaupun tidak bertudung, saya lega kerana pakaian tidak seksi,” katanya.
Selain itu, Sarah turut menantikan tayangan filem Radhi Radha bin Radu. Sudah bertudung dalam filem itu, karya berkenaan menjadi medan lakonan Sarah yang terakhir sebelum meninggalkan pentas lakonan.
Walaupun dulu aktif berlakon, tetapi kini tidak terlintas langsung perasaan rindu terhadap kerjaya lama itu kerana sibuk dengan perniagaan.
Kata Sarah, terlalu banyak yang difikirkan sehingga tidak ada kesempatan untuk memikirkan seni lakon. Setiap hari terlalu banyak perkara yang harus diselesaikan. Dia juga harus memikirkan cara untuk mengembangkan perniagaan.
“Kesibukan itu membuatkan saya langsung tidak ada masa untuk merindui kerjaya sebagai pelakon. Pun begitu, saya masih menjadi anak seni cuma bukan di pentas lakonan.
“Walaupun saya berhenti sepenuhnya sebagai pelakon, saya menjadi pengacara untuk beberapa program di Astro Oasis dan TV Alhijrah. Saya juga tidak menolak menjadi model untuk produk,” katanya.
Kesibukan Sarah kini bertambah apabila suaminya, Syamsul Yusof memberikan tanggung­jawab kepadanya untuk menguruskan butik Shara Islamic Fashion World. Dia tidak mahu ambil mudah kepercayaan yang diberikan.
Sebab itulah fokusnya kini lebih kepada mengendalikan butik itu. Apatah lagi dalam keadaan ekonomi dan persaingan ketika ini, dia harus berusaha lebih agar butik itu terus bertahan dan mampu membuka lebih banyak cawangan.
“Selain seni, saya juga suka fesyen. Sebab itu saya bekerja keras untuk menguruskan perniagaan ini. Apatah lagi ini adalah amanah suami agar saya dapat jaga dengan baik. Walaupun saya isteri kepada pemilik butik itu tetapi saya juga bekerja seperti orang lain.
“Saya tidak boleh sesuka hati masuk bekerja sebaliknya ikut masa bekerja yang ditetapkan. Semua itu demi kepentingan butik ini. Sekarang ini pun, ada perancangan untuk buka bisnes kafe. Mungkin butik itu nanti akan menjadi butik kafe,” katanya.
Lulusan Diploma Pengurusan Hotel, Universiti Teknologi MARA (UiTM), itu juga bercita-cita mahu membuka butik hotel. Manakala Syamsul pula ingin membangunkan agensi pelancongan menyediakan pakej haji dan umrah.
Kata Sarah, setakat ini perkara itu masih lagi menjadi impian. Dia sendiri tidak tahu sama ada angan-angan itu akan tercapai dalam masa terdekat. Semuanya bergantung pada rezeki.
Mengenai dirinya yang belum mempunyai cahaya mata selepas dua tahun berkahwin, Sarah mengakui awalnya tertekan dengan pertanyaan sama daripada orang sekeliling, namun dalam tempoh itu dia belajar untuk sabar dan reda.
Tambah pula adik Syamsul, Syafiq yang berkahwin pada hari yang sama, baru saja menimang cahaya mata.
Bagaimanapun, Sarah akui ia tidaklah memberi impak besar. Katanya, mula-mula dulu memang tertekan sebab selalu diajukan pertanyaan sama tetapi sekarang dia sudah lali dengan keadaan itu.
“Memanglah teringin tapi belum rezeki. Mac depan saya dan Syamsul sudah genap dua tahun sebagai suami isteri. Kalau boleh saya ingin berita gembira itu tetapi seperti yang saya kata, semuanya adalah rezeki,” katanya yang bakal menjalani umrah kali ketiga bulan depan.
Mengenai butiknya yang dari luar kelihatan gah hingga membuatkan umum takut untuk masuk dan melihat tudung mahupun jubah yang ada, Sarah menafikan ia hanya tempat untuk golongan tertentu. Katanya, harga setiap produk yang dijual sangat berpatutan dan tidaklah terlalu mahal.

Leave a Comment