Tuah tahun baru Winnie

Sharing is caring!

Meskipun laluan Winnie K untuk menyerlah dalam bidang nyanyian dan dikenali peminat Melayu agak berliku, dia tidak gentar untuk terus mencuba.
Jika sekitar September tahun lalu Winnie muncul dengan lagu duet Cukuplah bersama RJ, tidak lama lagi single kedua lagu Melayu nyanyiannya akan muncul.
Winnie akui proses rakaman lagu hasil ciptaan penyanyi dan komposer Awi Rafael itu akan dilakukannya selepas sambutan Tahun Baru Cina.
Katanya, memandangkan 2016 adalah tahun Monyet dalam kalender Cina, boleh dikatakan resmi monyet itu dianggap sebagai haiwan aktif dan cerdik.
“Seiring tuah yang dibawa, saya mengharapkan karier seni diceburi selama ini akan lebih menyerlah seterusnya menempa kejayaan.
“Apapun, selain teruja untuk merakamkan single terbaharu yang mendapat kerjasama daripada Awi, saya juga mendapat rezeki untuk mengembangkan karier nyanyian ke Beijing, China.
“Segala-galanya bermula pada November tahun lalu apabila saya dipilih mewakili Malaysia membuat persembahan di Festival Seni Asia yang berlangsung di China,” katanya.
Menurut Winnie, pada festival itu dia nekad membuat persembahan menyanyikan lagu irama Malaysia, Nirmala yang pernah dipopularkan Datuk Siti Nurhaliza. Dia memilih lagu itu kerana mahu mengetengahkan budaya masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
“Meskipun Nirmala lagu berbahasa Melayu, namun memandangkan saya rakyat Malaysia maka budaya Melayu itu wajar diketengahkan.
“Hasilnya, saya tidak menduga ada syarikat rakaman di Beijing berminat untuk membantu mengembangkan karier nyanyian saya di China,” katanya.
Winnie yang juga anak bongsu dalam keluarga berkata dia sangat berbesar hati dengan tawaran kontrak kerjasama diterimanya itu.
Katanya, kira-kira 10 tahun lalu dia pernah juga mendapat tawaran untuk mengembangkan karier nyanyian di China, namun ketika itu dia menolak.
“Saya tidak bersedia untuk berjauhan daripada keluarga kerana diminta menetap di sana. Bagaimanapun , untuk kerjasama kali ini saya dibenarkan berulang-alik dari Malaysia ke China.
“Saya tidak boleh menetap terus di China demi karier kerana ada tanggungjawab terhadap keluarga. Bapa saya sudah meninggal dunia dan sekarang saya perlu menjaga ibu.
“Ditambah kesihatan ibu kurang baik dan memerlukan penjagaan rapi. Sebagai anak, keluarga adalah keutamaan saya,” katanya.
Menurut Winnie, dia tidak mahu menjadi anak yang tidak berjasa kepada ibu bapa hanya semata-mata untuk mengejar impian membina karier.
Mengenai sambutan Tahun Baru Cina yang diraikan esok, Winnie berkata, apa yang paling penting baginya hadir sama ketika makan besar seisi keluarga.
“Apa yang saya utamakan setiap tahun adalah acara makan besar keluarga yang dilakukan pada malam sebelum perayaan Tahun Baru Cina.
“Selepas itu, pada hari Tahun Baru Cina itu pula saya selalunya akan sibuk dengan kerja dan pel­bagai aktiviti seni. Bagi saya, seronok kalau bekerja.
“Keluarga pun memahami tuntutan karier saya dan mereka memberikan sokongan. Tambah pula masa bekerja itu bukannya lama sangat. Saya masih ada masa untuk meraikannya bersama keluarga dan sanak saudara. Bagaimanapun, kami sekeluarga meraikannya secara sederhana,” katanya.
Kata Winnie, dia juga gembira kerana tahun lalu berpeluang menjayakan filem Chowrasta arahan Datuk Profesor A Razak Mohaideen.
Dia melakonkan watak pembantu sebagai pensyarah berbangsa Cina yang berkhidmat di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Babak saya tidak banyak, tetapi apa yang membuatkan saya tertarik untuk membintangi filem ini kerana ia diinspirasikan daripada kisah benar.
“Selain itu, saya juga seronok apabila dalam filem ini juga ada ramai pelakon terkenal membintanginya seperti Datuk Rosyam Nor, Nora Danish, Fauzi Nawawi dan Wan Hanafi Su.
“Saya suka mencuba untuk menimba pengalaman. Apabila ada ramai pelakon senior, takkan mahu lepaskan peluang begitu saja,” katanya.

Leave a Comment