Bintang RTM kembali bersiaran

Sharing is caring!

BINTANG RTM menjadi antara program realiti popular dan sangat sinonim di RTM.

Sejarah pertandingan Bintang RTM bermula pada awal 1959 dan dikenali sebagai Bintang Radio, sebuah pertandingan Anjuran Radio Malaya.  Pada ketika itu, pertandingan Bintang Radio hanya mengetengahkan lagu-lagu yang berentak langgam, asli, keroncong dan seriosa.

Pada 1964 Bintang Radio memulakan siaran pertamanya di televisyen serta TV Malaya pula muncul untuk mencari bakat-bakat baharu untuk pertandingan Bakat TV.

Bermula dari itu setiap tahun Bintang Radio dan Bakat TV menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada peminat seni tanah air.  Malaysian Book Of Records juga pernah menamakan program ini sebagai pertandingan nyanyian paling lama bertahan dalam industri muzik Malaysia.

Pada 1973, istilah Bintang RTM (BRTM) mula digunakan apabila Bakat Radio dan Bakat TV diselaraskan serta digabungkan menjadi Bintang RTM. Bagaimanapun program ini pernah empat tahun menyepi sejak 2012.

Namun bermula 30 Januari lalu, program mencungkil bakat dalam bidang nyanyian ini kembali memperkenalkan 14 peserta seluruh Malaysia dan disiarkan di TV2.

Penerbit BRTM 2016, Haliza Mat Kharsa berkata, sebelum ini Bintang RTM dihentikan penerbitannya buat sementara bagi memberi laluan kepada program lain dengan konsep sama untuk bersiaran.

“Bintang RTM merupakan program realiti bertujuan mencari penyanyi yang mempunyai vokal terbaik dan versatil.

“Kali ini, ia membawa konsep hiburan lebih segar dengan kehadiran peserta-peserta muda dan berbakat besar serta berpengalaman dalam pertandingan nyanyian,” katanya pada sidang media memperkenalkan peserta BRTM di Angkasapuri, baru-baru ini.

Dalam sidang media berkenaan, 14 peserta diperkenalkan terdiri daripada Rosario Ninih Chamini Bianis, 21, merupakan Johan Bintang Remaja RTM 2014 anjuran RTM Sabah; Chee Ka Yee, 22, pemenang Golden Award Multi-Talent Competition of China 2008; Syakirah Edora Janali, 22, Naib Juara Cari Cari Bintang Johor Musim 2, Juara Keroncong Johor, Penyanyi Orkestra Pancaragam Askar Johor serta merupakan penyanyi di Istana Johor.

Puteri Wannur Nabila Ramli pernah menyertai pertandingan realiti TV tempatan; Norfazrina Mohd Gani, 23, merupakan Juara Bintang Kecil Kebangsaan RTM 2001 Sarawak dan Juara Keroncong Negeri Selangor 2006; Nor Shafreeza Zainal Abidin, 22, merupakan wakil Malaysia calam Children Folk Dance 2003.

Selain itu turut menyertai BRTM kali ini, Nur Hijrah Yahya, 24, finalis Bintang P Ramlee 2012 dan 2014 anjuran RTM Sarawak; Idris Zulkifli, 19, pernah bergelar naib johan rancangan realiti tempatan; Mohd Farhan Mohd Mustafa, 19, finalis Bintang RTM 2014; Muhammad Hafiz Ismail finalis Bintang Kecil 2004 dan Bakat Media Hiburan; manakala Muhammad Adib Ibrahim, 25, Muhammad Alif Mustafa, 22; Mohamad Azizol Alias, 23 dan Muhammad Farid Mohd Nor, 23, masing-masing berpengalaman dalam persembahan pentas dan nyanyian.

Ujibakat setiap zon

Dalam pada itu, Haliza berkata, kesemua peserta menjalani ujibakat yang diadakan di setiap zon Selatan iaitu RTM Johor Bharu pada 13-14 November lalu, Zon Sarawak di RTM Kuching pada 21-22 November 2015, Zon Timur di RTM Pahang pada 28-29 November 2015, RTM Sabah pada 5-6 Disember 2015, Zon Utara di RTM Pulau Pinang pada 12-13 Disember, dan Zon Tengah pada 18 Disember 2015.

“Sepanjang ujibakat diadakan lebih 3,000 peserta mencuba nasib dengan mengetengahkan vokal masing-masing sebelum 14 daripadanya terpilih menyertai Bintang RTM.

“Ini membuktikan rancangan ini masih mendapat perhatian umum dan remaja khususnya meski pun empat tahun ia mendiamkan diri dari arena pencarian bakat baharu.” katanya.

Pada kali ini BRTM akan bersiaran sebanyak 10 episod setiap minggu pada hari Sabtu jam 9 malam secara langsung.

Konsep pertandingan ini masih mengekalkan ciri-ciri penyingkiran mingguan dan peserta akan dinilai oleh dua juri tetap dan seorang juri jemputan.

Leave a Comment