Nafas baru lagu C.I.N.T.A.

Sharing is caring!

Siapa sangka lagu C.I.N.T.A. nyanyian asal band D’Bagindas mampu diberikan nafas baru dengan susunan muzik jazz oleh penyanyi baru, Yuka.
Yuka sendiri atau nama sebenarnya,Yuka Tamada yang ditemui di Jakarta tidak pernah menjangkakan reaksi positif daripada peminat, selepas mengangkat lagu itu menjadi single pertamanya.
“Walaupun lagu cover, saya tidak sangka peminat menyukainya. Sebab utama saya memilih C.I.N.T.A. untuk menjadi single pertama kerana kekuatan lagu itu.
“Bukan saja di Indonesia, C.I.N.T.A, bahkan turut mencuri tumpuan peminat di negara jiran seperti Malaysia dan Si­ngapura. Jadi, rasanya satu strategi berkesan untuk saya menggunakan C.I.N.T.A. sebagai lagu pengenalan,” katanya.
Digelar sebagai penyanyi jazz, Yuka menolak kenyataan itu kerana baginya, dia masih perlu belajar lebih mendalam mengenai genre itu.
“Tidak dinafikan, minat saya lebih kepada muzik Jazz. Petikan gitar serta cara nyanyian saya juga lebih ke arah Jazz.
“Namun, untuk menggelarkan saya sebagai penyanyi jazz, mungkin belum layak kerana banyak lagi yang perlu dipelajari,” katanya.
Penyanyi yang sebelum ini muncul menerusi program Indonesian Idol musim kelapan menganggap program itu sebagai platform buatnya untuk mengembangkan bakat.
“Kalau tanpa Indonesian Idol, mungkin nama saya sebagai penyanyi tidak akan dikenali. Salah satu kejayaan buat diri saya apabila terpilih menjadi empat peserta akhir dalam kalangan 250,000 peserta lain yang menjalani uji bakat,” katanya.
Ditanya pendapatnya mengenai imejnya yang berbadan besar, Yuka sendiri mengakui ramai peminat yang bertanya soalan sama.
“Ramai juga yang meminta dan bertanya sama ada saya impikan bentuk badan langsing. Kalau anda ingin tahu, saya sudah cuba lakukan pelbagai cara, namun belum berhasil.
“Lagi pula, kalau tidak kurus pun, saya ingin hidup lebih sihat kerana kedua-dua ibu bapa saya mempunyai sejarah penyakit diabetes. Jadi, memang saya tahu berbadan besar ini tinggi risikonya,”
katanya.
Mengenai imej pula, sebelum menyertai program realiti itu, Yuka memang tidak memberi penekanan kepada penampilannya. Tetapi kini, dia perlu tampil bersedia kerana ba­nyak mata memandang.
“Tidak dinafikan, artis yang kurus dan cantik itu memang akan menarik perhatian ramai. Namun, mungkin saya akan perlahan-lahan mendapatkan bentuk badan ideal.
“Dari aspek penampilan pula, kalau dulu saya memang sangat ringkas dengan berseluar pendek dan berselipar kalau keluar. Kini, saya perlu berpakaian lebih sesuai kerana ingin menjadi contoh kepada peminat,” katanya.
Apapun, penyanyi berdarah Jepun-Bugis ini lebih selesa tampil ringkas dengan gayanya yang tersendiri.
Ditanya sama ada dia ingin melangkah lebih jauh ke luar negara, Yuka sendiri mengakui ingin mengukuhkan kerjayanya di negara sendiri terlebih dulu.
“Selepas sudah kukuh membina nama di negara sendiri, barulah saya akan lebih yakin untuk memperkenalkan diri ke luar negara,” katanya.

Leave a Comment