Video Mummy Khaty sedih lepaskan Shaheizy Sam jadi viral

Sharing is caring!

Malam tadi, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014, Shaheizy Sam sah bergelar suami kepada pelakon, Syatilla Melvin di hadapan keluarga dan teman rapat di Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang. Namun, beberapa jam sebelum diijab kabul, Sam sempat memuat naik video yang dikongsi kakaknya, Zizie Ezette pada laman Instagram. Rakaman video itu antara lain menunjukkan ibu tersayang, Khaty Fauziah atau mesra disapa Mummy Khaty sebak dan sedih melepaskan Sam kepada Syatilla. Mengapa tidak, Sam diasuh ibarat menatang minyak yang penuh. Dalam rakaman video itu, suara Zizie turut kedengaran. Zizie menyebut ‘Jangan menangis mama, dia (Sam) akan selalu menjadi anakmu’. Sam turut menyertakan mesej menyentuh hati bersama paparan video berkenaan. Pesanan itu seperti berikut: “Alamak! Cinta hati Sam menangislah. Wahai kaum Adam, sehebat mana sekalipun isteri kita, tapi hebat lagi kedudukan seorang ibu yang tak mampu dibeli dan dicari ganti. Sebab itulah ada istilah syurga di bawah telapak kaki ibu. “Wahai kaum Hawa, terimalah bahawa suamimu harus mendahulukan ibunya daripadamu (merujuk kepada Syatilla). Akur dan taatlah pada syurgamu (suami), seperti mana dia taat pada syurganya (ibu),” katanya. Pada akhir pesanan, pelakon kacak itu berharap ingatannya itu memberi manfaat kepada semua pihak. “Semoga kita semua ke syurga. Insya-Allah. Amin,” katanya. Malam tadi, dengan sekali lafaz, Sam, 34, sah menjadi suami kepada Syatilla, 25, sambil disaksikan ahli keluarga dan saudara terdekat. Majlis akad nikah itu dikendalikan jurunikah yang juga Pengarah Pusat Transformasi Insan Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Ellias Zakaria berwalikan bapa Syatilla, Amirol Melvin Abdullah. Syatilla menerima mas kahwin RM10,082 bersama tujuh dulang hantaran berbalas sembilan. Majlis pernikahan yang diadakan secara tertutup itu hanya dihadiri keluarga dan teman rapat. Hari ini, pasangan mempelai diraikan pada majlis resepsi di Bukit Jawi Golf Villa. Majlis resepsi pengantin lelaki pula akan diadakan di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur pada 14 Februari depan.

Leave a Comment