Nursyahidda Dari Tanjung Malim Lahirkan Anak Virus Zika

Sharing is caring!



Nursyahidda Dari Tanjung Malim Lahirkan Anak Virus Zika

IMBASAN ultrabunyi yang dilakukan pada perut Nursyahidda Asma Kholik, 29, yang hamil kira-kira tiga tahun lalu menunjukkan ada suatu yang tidak kena.
Kegirangan wanita dari Tanjung Malim, Perak itu untuk menimang cahaya mata sulungnya tersentak apabila imbasan menunjukkan tumbesaran kepala anaknya itu terhenti berbanding anggota tubuh lain sejak enam bulan kehamilan.
Dia dan suaminya cuba membuang rasa tidak sedap hati itu jauh-jauh.
Kemudian, apabila anak lelakinya dilahirkan dan diberitahu doktor bahawa ia menghidap kepala kecil atau mikrosefali, Nursyahidda tetap menganggap mungkin kepala anaknya itu masih normal.
Sehinggalah dua bulan selepas itu apabila imbasan MRI yang dilakukan menunjukkan di dalam kepala kecil anaknya itu otak rata yang tidak berfungsi, hatinya luluh.
Setelah disahkan doktor bahawa anaknya itu menghidap palsi serebral, makin banyak air matanya tumpah.
Ujian darah
Doktor beritahunya: “Anak awak sampai besar, makan, minum, buang air besar, kecil, semua bergantung dengan ibunya”.
“Kata-kata itu cukup menggambarkan segala-galanya. Semasa imbasan MRI, saya bahkan telah dimaklumkan bahawa imbasan itu juga boleh meramal jangka hayat anak saya tetapi saya tidak mahu tahu.
“Saya dan suami menangis hingga kering air mata tetapi kini, kami reda akan ketentuan-Nya dan akan berikhtiar selagi daya untuk memberikan yang terbaik buat anugerah yang amat kami sayang ini,” kata Nursyahidda, ketika ditemui Kosmo! semasa anaknya, Muhammad Syafi Hadif Mohd. Shahir atau Adam menjalani fisioterapi di sebuah institusi di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kasih sayang ibu muda cekal itu terhadap Adam yang usianya hampir tiga tahun dilihat begitu terpancar.
Dengan segala kekurangan dan keanehan yang ada pada anaknya bagai tiada apa yang perlu disembunyikan.
Dia dan suaminya bahkan menggelarkan anak mereka Adam Comey (Adam comel) dalam akaun-akaun media sosial mereka.
DI Barat, ekoran wabak Zika yang mempopularkan sindrom mikrosefali telah menyebabkan dua beradik penghidap penyakit itu dari Amerika Syarikat menjadi viral.



Suri rumah itu berkata, ujian-ujian termasuk darah dan kromosom telah dilakukan kepada dia dan suaminya, Mohd. Shahir Kamaruddin, 30, untuk mengetahui punca kejadian itu, namun tidak ada jawapan dan doktor menyatakan apa yang berlaku kepadanya satu dalam seribu.
Bahkan, dia digalakkan doktor untuk hamil lagi dan kini Nursyahidda sedang mengandung anak kedua.
Saiz kepala
“Lilitan saiz kepala Adam semasa lahir 28 sentimeter (sm) dan saya rasa sampai sekarang pun tidak banyak beza. Kepalanya amat sensitif sehingga mudah menangis jika diusik. Kalau letak topi di kepalanya, ia akan menangis.
“Pandangan matanya juga amat silau dan hanya boleh mengeluarkan bunyi suara. Kalau bermain dengannya perlu sentuhan yang agak kuat, jika tidak, ia tidak memberikan respons,” katanya.
Jika mikrosefali terbentuk dalam kehamilan Nursyahidda, seorang ibu dari Kuala Lumpur, Noina Ali, 33, pula memiliki anak yang mikrosefali kerana kekurangan oksigen semasa kelahiran.
Siapa sangka kandungan yang cukup sempurna sepanjang tempoh kehamilan itu akhirnya lahir ke dunia sebagai zuriat yang tidak normal.
“Semasa melahirkannya, saya gagal meneran lalu saya perlu dibedah. Dalam tempoh itu, dia telah lemas dalam air ketuban. Akibat kegagalan oksigen ke otaknya, sebahagian otaknya rosak dan saya diberitahu doktor bahawa anak saya menghidap mikrosefali,” katanya.
Anaknya, Yasmin Nabilah Zulhilmi kini berusia 8 tahun, namun bagi Noina, anaknya itu tidak ubah seperti bayi yang perlu sentiasa diberikan perhatian.
“Saya bersyukur sebab anak saya ini boleh senyum, rambutnya juga lebat. Kadang-kadang rasa tak berdaya juga kerana perlu banyak mendukungnya tambah pula apabila usianya kian meningkat. Kepalanya sahaja kecil tetapi tingginya kalau didirikan sama dengan kanak-kanak sebaya.
Peluang
“Saya dan suami, Zulhilmi Abdul Halim, 34, perlu kuat bagi menjaga Nabila. Allah memberikan kami peluang untuk mengumpul pahala,” kata ibu kepada dua orang anak itu. Anak keduanya, Yassier Naufal, 4, membesar normal.
Seperti Nursyahidda, Noina kini juga sedang berbadan dua. Ketika isu zika hangat diperkatakan pada masa ini, pegawai tadbir itu juga mengakui ada gundah dalam jiwanya.
NURSYAHIDDA bersama suaminya, Mohd. Shahir dan anak mereka penghidap mikrosefali, Adam yang kini berusia hampir tiga tahun.



“Di tempat saya tinggal ini kes denggi agak teruk juga. Jadi risau juga bila disebut-sebut risikonya terhadap ibu hamil,” katanya yang turut memiliki blog didedikasikan buat Yasmin Nabilah.
Pakar pediatrik dari Pusat Pakar KPJ Selangor, Datuk Dr. Zulkifli Ismail berkata, mikrosefali ialah satu keadaan bayi yang lahir itu mempunyai saiz kepala atau otak yang terlalu kecil berbanding bayi normal.
“Micro itu bermakna kecil dan cephaly bermakna kepala atau otak. Maka, microcephaly membawa makna kepala kecil. Kita boleh tahu seseorang bayi itu menghidap mikrosefali dengan melihat pada kepalanya yang kecil dan dahi condong ke belakang,” katanya.
Zulkifli berkata, ia sebenarnya satu kejadian yang jarang berlaku. Sepanjang penglibatannya dalam bidang pediatrik, beliau hanya mendepani antara empat atau lima kes mikrosefali.
Beliau berkata, mikrosefali boleh terbentuk semasa dalam tempoh kehamilan ibu atau semasa kelahiran bayi.
Katanya, ia boleh disebabkan oleh beberapa jenis faktor seperti genetik (keturunan), jangkitan kuman, tabiat ibu yang merokok, mengambil alkohol atau ubat tertentu semasa kehamilan serta kekurangan oksigen semasa proses kelahiran.
Jelasnya, antara jangkitan yang dikaitkan dengan mikrosefali ialah rubela (German measles) atau toxoplasmosis (jangkitan daripada parasit pada kucing). Bagi kes kekurangan oksigen semasa proses kelahiran, ia menyebabkan bahagian tertentu pada otak rosak sehingga terjadilah mikrosefali.
“Bayi boleh menghadapi masalah kekurangan oksigen jika ia lemas di dalam kandungan semasa proses kelahiran.
“Namun, terdapat juga kes yang tidak diketahui punca berlaku mikrosefali. Setelah ujian-ujian dilakukan pada bayi dan ibu bapanya, kita masih tidak dapat mengesan mengapa ia terjadi,” tegasnya.
Zulkifli berkata, bayi yang menghidap mikrosefali mempunyai tahap-tahapnya sama ada teruk, tidak teruk atau sederhana bergantung pada bahagian dan beberapa banyak otak yang terjejas.
“Selagi bahagian medula oblongatanya baik, bayi itu masih boleh hidup dan bernafas. Sekiranya bahagian serebelumnya terjejas, ia akan mengalami masalah keseimbangan dan bahagian otak pada serebrum pula merencatkan pemikiran, pergerakan, penglihatan dan sebagainya.
“Saiz kepala atau otak mereka yang menghidap mikrosefali akan kekal atau tidak banyak berubah seumur hidup mereka,” katanya.




Leave a Comment