Remy jumpa lelaki seiras bapa di Tanah Suci

Sharing is caring!

Aktor, Remy Ishak, bersyukur diberikan kesempatan untuk berjumpa individu seiras bapanya di Tanah Suci ketika menunaikan umrah, baru-baru ini. Peluang itu sekali gus mengubati rasa bersalah dalam diri Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 34, kerana tidak berpeluang berjumpa bapanya sebelum berangkat ke Makkah kerana kekangan masa. “Sejurus selepas pulang dari New York kerana menjalani penggambaran Rumi dan Jawi, saya terus berangkat ke Makkah esoknya. Justeru, saya tidak sempat untuk berjumpa bapa yang berada di kampung ketika itu. “Alhamdulillah, ibarat doa saya dimakbulkan apabila dipertemukan dengan seorang jemaah yang seiras bapa saya. Malah, saya mengambil pendekatan untuk menghantar mesej kepada bapa menanyakan khabar selepas insiden itu. “Benar keajaiban berada di sana sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Apa saja yang terdetik di hati, dengan izin Allah dipermudahkan segala urusan,” katanya kepada BH Online. Pelakon yang popular menerusi drama bersiri Nur Kasih itu turut berkata, beliau teruja kerana berpeluang menghulurkan sedekah kepada hadirin di Masjidil Haram bersama seorang ustaz yang dikenali di sana, Sheikh Jamil. “Biarpun cuaca di sana tidak dapat diduga, namun saya bersyukur kerana jemputan ke Tanah Suci bersama ibu berjalan lancar. “Pengalaman memberi sedekah di sana membuka mata saya untuk melihat kehidupan dengan perspektif berbeza. Diharapkan, apa yang saya timba di sana dapat diaplikasikan di sini,” kata Remy. Pelakon ini selamat kembali ke tanah air setelah berada di Tanah Suci selama sembilan hari bagi menunaikan ibadat umrah bersama-sama ibunya.

Leave a Comment