Semakin Murah Rezeki, Ramai Peminat

Sharing is caring!

Sejak kemunculannya sebagai pelakon utama menerusi filem pecah panggung The Journey, Frankie Lee Sai Peng, 76, mengakui kehidupannya benar-benar berubah.

Sementelah, selama ini beliau hanya dianggap mengisi watak kurang penting dan banyak berada di belakang kamera.

“Jika sebelum ini saya hanya bekerja di belakang tabir selaku kru penerbitan. Selalunya saya buat kerja-kerja menjaga prop bagi penggambaran drama-drama bersiri tempatan termasuklah menjadi pelakon dalam iklan televisyen.

“Apa-apa pun saya percaya kepada rezeki. Percayalah jika kita ada bakat dan ikhlas bekerja, semuanya pasti akan menjadi dan dipermudahkan.

“Mungkin kerana perwatakan yang kelakar dan gemar berjenaka secara semulajadi membuatkan bakat saya dikesan oleh pembikin filem. Merekalah yang bertanggungjawab dalam memperkenalkan dan mengangkat nama saya ke dunia seni,” katanya yang sudah menyertai kerja seni sejak tahun 1970-an lagi.

Tambah Frankie, selepas menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM27) tahun lepas, ramai peminat tanpa mengira kaum dan usia mula mengenalinya.

“Jika saya bersiar-siar di luar, ramai yang menegur saya dengan panggilan Uncle Chuan, nama watak dalam The Journey. Mereka juga mahu bergambar kenang-kenangan dengan saya.

“Tawaran berlakon termasuklah iklan komersial berkaitan produk untuk televisyen tempatan dan luar negara juga semakin bertambah. Memikirkan faktor umur yang semakin lanjut, saya hanya boleh memilih beberapa tawaran sahaja.

“Biarpun dikenali ketika usia sudah lanjut, saya akan terus berlakon jika terus mendapat tawaran yang sesuai dengan watak yang diberikan.

“Dunia seni lakonan kini menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup dan kerjaya saya,” katanya yang kini sibuk mempromosikan filem terbaharu lakonannya, Special Forces.

Leave a Comment