‘Lihat dulu isinya’

Sharing is caring!

Ketika ini peminat sudah menyaksikan sebahagian daripada drama 13 episod Cinta Te­runa Kimchi yang bersiaran setiap Rabu hingga Jumaat di TV3.
Drama arahan Heykal Hanifah ini membariskan pelakon Nazim Othman sebagai pemuda Korea bernama Sulaiman Kang Yee Jun, Nina Baharun (Saidah), Johan Asari (Amin), Nuristeena Munim (Suraya) dan ramai lagi.
Penggambaran drama ini dilakukan pada musim luruh di sekitar Universiti Hankuk Seoul, bandar raya Seoul, Sungai Han, Masjid Itaewon, Lapangan Terbang Incheon Seoul serta kawasan kampung.
Heykal berkata, hanya enam hari diperuntukkan termasuk perjalanan untuk menghabiskan 70 babak dan ia satu cabaran besar buat mereka.
“Kalau diikutkan ia bukan perkara mudah. Apatah lagi ketika itu ada piket membabitkan lebih 100,000 rakyat di sana yang memprotes dasar kerajaan.
“Alhamdulillah. berkat kerjasama yang baik antara pelakon dan pasukan produksi, semuanya berjalan lancar dan mengikut jadual.
“Apabila disiarkan, cerita ini pada awalnya disalah tafsir segelintir pahlawan papan kekunci yang meng­kritik tanpa usul periksa. Bahkan ada komen melampau apabila mencerca drama ini,” katanya.
Sambung Heykal, apabila perkara itu berlaku dia bertanggungjawab menjelaskan perkara sebenar agar orang ramai menonton terlebih dahulu sebelum membuat andaian bukan-bukan.
“Jangan terlalu cepat menilai hanya kerana tajuk. Mereka perlu lihat isinya serta apakah nilai positif yang ada dalam cerita ini. Jangan sesekali menampakkan diri kita kurang cerdik.
“Cinta Teruna Kimchi mengisahkan pemuda separa Malaysia dan Korea yang masih dipelihari akidahnya oleh Allah SWT walaupun dibesarkan dalam keluarga beragama lain. Ayahnya beragama Islam dan terpaksa meninggalkan ibunya atas desakan keluarga.
“Ayahnya tak meninggalkan apa-apa pun kecuali nama Sulaiman Kang Yee Jun. Dia sering berjumpa ayahnya, Yusoff dalam mimpi. Sejak itu dia nekad mencari siapa bapanya yang sebenar,” katanya.
Jelas Heykal lagi, drama ini turut memaparkan bagaimana seorang gadis Melayu berjaya menambat hati Yee Jun meskipun pada awalnya hubungan itu tidak mendapat restu orang tua.
“Saya mengetengahkan cara bercinta mengikut syariat dan apa yang patut dibuat untuk melembutkan hati orang tua supaya bersetuju dengan pilihan kita.
“Watak Amin pula berdepan dilema untuk melupakan cintanya terhadap gadis yang bencikan lelaki Melayu. Walaupun dihina, dia tidak putus berdoa agar gadis itu terbuka hati mendekati Islam,” katanya.
Heykal berpendapat, pengisian cerita memainkan peranan penting berbanding judul yang menjadi teknik stesen TV untuk meraih perhatian masyarakat, terutama golongan muda agar tertarik menonton karya yang dipersembahkan.
“Begitu juga dengan lagu latar yang dimuatkan harus terkini agar kena dengan selera peminat.
“Berkenaan lakonan, ada sedikit masalah apabila ada antara pelakon baru pertama kali beraksi.
“Saya puji penghayatan Nazim kerana berjaya melakonkan watak Sulaiman Kang Yee Jun dengan baik walaupun diberi masa yang singkat untuk belajar bahasa Korea.
“Nina pula masih baru, tapi tiada masalah membentuknya kerana dia terbuka menerima teguran dan turut menyumbang idea bagi mencantikkan lagi wataknya sebagai Saidah,” katanya.

Leave a Comment