Qanun 9 angkat kes syariah

Sharing is caring!

ASTRO Oasis kembali menyajikan penontonnya dengan drama bersiri terbaru iaitu Qanun 99 terbitan KL Motion Picture Compony Sdn Bhd.

Drama bersiri ini berlatarbelakangkan kisah di mahkamah syariah yang menampilkan pelbagai kisah benar berlaku dalam masyarakat kita.

Penerbitnya, Wan Hasliza Wan Zainuddin berkata, setiap episod dibintangi pelakon tetap iaitu Yana Samsudin dan Farid Kamil.

“Menerusi drama bersiri ini kita garap kisah-kisah yang pernah dibicarakan di mahkamah syariah.

“Ia sebagai panduan kepada penonton mengenai kes-kes yang pernah berlaku yang boleh dijadikan pengajaran,” katanya.

Wan Hasliza berkata, walaupun undang-undang menjadi pencetus kes bagi setiap episod, namun ia lebih memberi fokus kepada kisah di sebalik kes yang dibicarakan di mahkamah.

“Kebanyakan kes diambil adalah kes syariah yang menjurus kepada masalah keluarga, munakahat dan jenayah.

“Cuma kita olah setiap jalan cerita menjadi lebih tepat dan jelas untuk memudahkan penonton mendapat maksudnya secara lebih mendalam,” katanya.

Selain itu, drama bersiri 13 episod ini mengambil durasi selama setengah jam dan turut memberi fokus kepada pemahaman serta cara penyelesaian sesebuah kes syariah.

“Ia turut memaparkan gambaran bagaimana kes syariah dibawa ke mahkamah dan prosedur kes dibicarakan sehingga selesai,” katanya.

Menarik mengenai Qanun 99, episod yang dipaparkan berasaskan kisah benar dan disampaikan dalam bentuk lakonan semula.

“Watak-watak menerusi drama bersiri ini melibatkan peranan dalam sesebuah perbicaraan mahkamah iaitu hakim, peguam, pembantu hakim dan polis.

“Terdapat juga watak tambahan yang akan dilakonkan pelakon tambahan,” katanya.

Antara episod yang bakal dipertontonkan termasuklah Nikah Haram, Talak 133, Siti Muslihat dan Lara Seorang       Ibu.

Drama bersiri sentuhan pengarah Syed Khairul Fariz dan Amirul Fadhli ini ditayangkan di Astro Oasis dan Maya HD setiap Jumaat jam 7.30 malam bermula 5 Februari lalu.

Leave a Comment