Berubah demi suami

Sharing is caring!

Selepas berkahwin, pelakon Nad Zainal, 26, akur dengan permintaan suaminya, Muhammad Faliq Amirudin, 28, agar tampil lebih feminin.
Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin mengakui sebelum ini dia tampak lasak, sekali gus mendorongnya untuk berubah.
“Suami mahu saya tampil dengan imej lebih feminin. Sebab itulah selepas kahwin penampilan saya tidak lagi seperti dulu.
“Saya anggap permintaan itu perkara yang positif dan tidak jadi masalah pun buat saya. Apabila difikir semula, betul juga kerana saya sudah berkahwin,” katanya.
Bukan itu sahaja, pelakon drama Tuan Rumah Pembantu Rumah ini lebih menititkberatkan soal kecantikan.
“Bagi saya, selepas berkahwin wanita perlu menjaga kecantikan dan penampilan mereka. Saya tidak mahu abaikan perkara itu dengan alasan tidak ada masa.
“Saya tidak terlalu obses, cuma bersikap peka dengan keadaan sekeliling. Faham sajalah, kehidupan berumah tangga banyak cabarannya. Lagi pun, tidak salah tampil cantik untuk suami, malah ia dituntut agama,” katanya.
Justeru kata Nad, selain mengamalkan pengambilan produk kecantikan miliknya Audele, dia turut mengikuti kelas zumba.
Kesan daripada gaya hidup sihat itu, Nad kini tampil lebih cerah dan kurus.
“Sebelum bergelar isteri, berat badan saya 54 kilogram. Selepas sebulan minum produk kecantikan sendiri, berat saya kini 48 kilogram.
“Pada masa sama, saya menghadiri kelas zumba. Ia membantu mendapatkan bentuk badan diingini. Lagipun sebagai pelakon saya perlu kurus kerana di kaca TV kita nampak lebih besar daripada saiz sebenar,” katanya.
Produk kecantikan yang baru diperkenalkan itu idea bersama rakan kongsi dan mula dipasarkan pada Mac ini secara online.
“Produk ini boleh ditempah menerusi laman Instagram by_nadzainal. Saya sedang mencari stokis dan ejen di seluruh negara,” katanya.
Berkongsi mengenai kerjaya lakonan, Nad akan memulakan penggambaran drama berjudul Dua Dunia di samping Izzue Islam.
“Seminggu selepas nikah, saya menjayakan telefilem Auta bersama Shukri Yahaya. Agak kelakar kerana kami berdua baru berkahwin dan inai di jari masih merah.
“Syukur kerana suami mengizinkan saya terus berlakon. Cuma, sebagai isteri saya perlu sedar dan tahu tanggung jawab yang perlu dilakukan,” katanya.
Menurut Nad lagi, dia bersedia mengorak langkah lebih jauh dengan melakonkan watak antagonis.
“Sejujurnya saya sudah bosan bawa watak baik, air mata dan wanita teraniaya. Jadi selepas ini saya mahu cuba watak jahat pula,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nad baru selesai penggambaran filem Soulmate arahan Profesor Datuk A Razak Mohaideen dan bergandingan dengan Erra Fazira, Raja Ilya dan Taufik Batisah.

Leave a Comment