Dafi teruja persiapan konsert 5 Divo berjalan lancar

Sharing is caring!

Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia, Gadaffi Ismail Sabri atau Dafi, 27, teruja apabila persiapan konsert sulung anjurannya, 5 Divo, berjalan dengan sempurna dan hampir selesai. Konsert yang bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, jam 8.30 malam esok, akan menampilkan lima penyanyi popular dari tiga negara berjiran iaitu Hazama dan Hafiz Suip mewakili Malaysia; Judika dan Afgan dari Indonesia; serta Taufik Batisah mewakili Singapura. “Saya begitu teruja dengan kelancaran persiapan menjelang konsert yang menggabungkan lima penyanyi hebat tempatan dan dari negara seberang ini. Buat julung kalinya mereka digandingkan bersama atas satu pentas. “Persiapan setakat ini sudah hampir selesai 80 peratus. Daripada pengamatan saya, semua pihak menjalankan peranan masing-masing dengan baik. Hari ini, semua penyanyi terbabit turut mengadakan latihan pesat sebelum persembahan sebenar berlangsung esok. “Peminat yang teringin untuk sama-sama menyaksikannya juga masih boleh membeli tiket di stadium, esok,” kata Dafi yang juga Pengarah Laugh Out Loud (LOL) Entertainment selaku syarikat penganjur kepada BH Online. Konsert yang diberi tema Cinta itu turut menampilkan Datuk Ramli MS sebagai pengarah muzik. Maklumat lanjut mengenai tiket boleh didapati dengan melayari laman rasmi www.ticketpro.com.my atau menghubungi talian hotline 017-6828038.

Leave a Comment