Jom belajar mengaji

Sharing is caring!

“Allah SWT anugerahkan saya dengan pelbagai benda. Dia berikan saya nama, harta, pangkat dan banyak lagi. Namun, sebagai manusia, kadang-kadang saya alpa,” kata pelakon popular Datuk Rosyam Nor, 48.
Rosyam yang kini bergelar Ikon Rumah Ngaji berkongsi mengenai tanggungjawabnya sebagai selebriti dalam mengajak masyarakat untuk belajar mengaji Al-Quran.
“Saya hanya memainkan peranan sebagai selebriti untuk mengajak masyarakat, lebih-lebih lagi yang sudah berusia untuk belajar mengaji. Kebanyakannya malu kerana usia yang meningkat.
“Saya mula belajar mengaji secara mendalam pada usia 45 tahun, jadi kenapa mereka perlu malu? Tidak ada alasan untuk kita malu dalam mengejar ilmu Allah,” katanya.
Tambah Rosyam, dia turut berkongsi pengalamannya yang merasa sendiri kenikmatan mengaji bersama rakan selebriti.
“Saya tidaklah mengajak mereka secara terus, tetapi berkongsi pengalaman dan apa yang saya rasa selepas mula belajar mengaji. Ada juga rakan yang meluahkan keinginan untuk belajar mengaji dan rasa teruja mereka,” katanya.
Ditanya mengenai pembabitannya dalam program amal ini, Rosyam berkata, dia dilamar pihak Rumah Ngaji untuk menjadi ikon pada November tahun lalu dan semuanya dilakukan atas kerelaan sendiri.
“Alhamdulillah, apabila ditawarkan tanggungjawab sebagai ikon, saya terima kerana bagi saya ini menjadi sebahagian tanggungjawab saya kepada masyarakat.
“Jika ada program yang tidak bertembung dengan jadual kerja saya, saya akan turut serta,” katanya.
Ustaz lembutkan hati Rosyam
Bercerita mengenai pengalamannya, Rosyam mengakui zaman kanak-kanaknya yang membesar di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur memang berbeza dengan kehidupan anak-anak hari ini.
“Saya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, sebuah sekolah berasaskan Kristian. Jadi, memang tidak ada pendidikan agama yang teratur.
“Anak-anak sekarang beruntung kerana ada sekolah agama dan banyak tempat- seperti Rumah Ngaji yang menawarkan pendidikan al-Quran secara formal,” katanya.
Pada usia 45 tahun ketika menjalani penggambaran filem KL Gangster 2, dia mula bertemu dengan ustaz yang perlahan-lahan mengajaknya untuk kembali mendalami ilmu al-Quran.
“Apabila terlalu sibuk dengan kehidupan dan kerja, kita jadi lupa. Dalam hati, ada cita-cita dan keinginan untuk belajar mengaji, namun mungkin belum cukup kuat.
“Apabila bertemu dengan ustaz ini, dia mula mengajak saya untuk belajar mengaji semula kerana kali terakhir saya mengaji adalah pada usia 13 tahun.
“Pada awalnya saya menolak, tetapi kerana usaha ustaz itu yang tidak henti-henti dan tak putus asa, dia berjaya melembutkan hati saya untuk belajar mengaji selepas empat bulan,” katanya.
Tidak hanya ingin merasa nikmat mengaji secara sendirian, Rosyam turut membawa beberapa ustaz dari Rumah Ngaji untuk mengajar mengaji di pejabatnya.
“Alhamdulillah, kalau sebelum ini ada beberapa pekerja saya yang tidak tahu mengaji, kini mereka sudah boleh membaca al-Quran dengan baik,” katanya lagi.
Melihat sendiri perkembangan Rumah Ngaji, dia bersyukur kerana semakin hari, semakin ramai yang peka dengan tanggungjawab sebagai Hamba Allah.
“Saya berharap agar usaha saya dalam memartabatkan Rumah Ngaji dan mengajak masyarakat untuk mengaji tidak dipandang sebagai untuk menunjuk atau sebagainya. Saya lakukan ini kerana Allah,” katanya.

Leave a Comment