Raja Ilya serasi dengan Taufik

Sharing is caring!

Selepas sering menghiasi kaca televisyen terutama menerusi watak antagonis, buat julung kali Raja Ilya bakal muncul bersama filem Melayu dengan memegang watak utama. Beliau berkata, dirinya cukup teruja kerana diberi kepercayaan menjadi pelakon utama filem Soulmate arahan Profesor Datuk A Razak Mohaideen yang turut menjalani penggambaran di Chiang Mai, Thailand. “Saya bertuah kerana dipilih menjadi pendukung watak utama filem ini dan lebih bermakna apabila dapat berlakon di bawah arahan Prof Razak. Dalam filem berkenaan, saya bergandingan dengan penyanyi Singapura, Taufik Batisah,” katanya kepada BH Online. Menurut pemilik nama sebenar Raja Ramilah Begum Raja Mohamad ini, filem terbabit memerlukannya membawakan watak wanita buruk yang melalui transisi sehingga menjadi cantik. Katanya, filem kisah cinta komedi itu turut menuntutnya sentiasa bersedia dari semua aspek kerana emosi yang bertukar-tukar, termasuk beberapa babak sedih. “Awalnya saya agak bimbang kerana tidak pernah membawakan watak sebegini, selain memikirkan keserasian dengan Taufik. Syukur, kami berjaya mewujudkan keserasian secara semula jadi sejak turun ke lokasi penggambaran, hujung Januari lalu” katanya.

Pelakon yang mula dikenali menerusi filem Tamil, Appalam (2011), ini berkata, persamaan darah campuran antara dirinya dan Taufik turut membuatkan mereka mudah serasi. Berbanding beberapa pelakon lelaki sebelum ini, katanya, beliau selesa untuk bergandingan dengan Taufik walaupun tidak pernah mengenalinya sebelum ini. “Saya gugup juga pada awalnya, namun ia sekejap saja. Tidak lama kemudian, kami sudah mula serasi,” katanya. Ujarnya, naskhah terbitan Astro dan FiTA Studio (milik UiTM Holdings) itu mempunyai kisah menarik yang pasti menarik perhatian penonton. Beliau menambah, buat kali pertama juga dirinya berlakon dalam video muzik runut bunyi filem itu yang dinyanyikan oleh Adira dan Taufik sendiri. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2015 menerusi drama Lorong Kecil Ke Syurga itu juga bakal bergandingan dengan bintang Bollywood, Kajol, dalam filem berjudul KL ke Bollywood yang masih menunggu jadual penggambarannya.

Leave a Comment