Tuti wakili Malaysia di AsNTM

Sharing is caring!

Kejayaan model tempatan Sheena Liam menjuarai program pencarian peragawati Asia’s Next Top Model (AsNTM) musim kedua pada 2014 membuka mata dunia terhadap Malaysia.
Disebabkan platform itu jugalah, Sheena kini melebarkan sayapnya berjalan di ‘runway’ seluruh dunia termasuk di New York, Amerika Syarikat (AS).
Tidak dinafikan AsNTM memberi nafas baru buat model wanita rantau Asia mencipta nama di persada dunia.
Bukan saja diikuti audien di benua ini bahkan di Barat turut teruja memilih peserta kegemaran mereka.
Berbanding wajah kebiasaan model Barat, bukan saja hebat dalam peragaan malah wajah eksotik jadi kekuatan utama peserta AsNTM.
Hakikatnya, itulah kini dicari setiap klien yang mahukan model.
Memasuki musim keempat, edisi terbaru AsNTM kembali lagi dengan mempertaruhkan 14 model yang lulus uji bakat di seluruh Asia.
Selain peserta dari Hong Kong, Vietnam, Thailand, Filipina, Indonesia dan Singapura, musim ini juga menyaksikan penyertaan pertama kali peserta dari Mongolia, Myanmar dan Korea Selatan.
Malaysia turut mempertaruhkan bakatnya menerusi model berpengalaman
iaitu Nuraini Noor atau Tuti meneruskan perjuangan Sheena pada musim ini. Biarpun sudah tersebar ura-ura dia mewakili negara sebelum ini, akhirnya dia sendiri mengesahkan penyertaannya menerusi Instagram.
“Saya bangga mengatakan bahawa Malaysia, ini adalah untuk anda,” katanya menerusi sebuah foto rasminya untuk promosi AsNTM musim baru.
Wanita berketinggian 175 sentimeter itu bukanlah nama asing dalam pentas peragaan tempatan.
Dia sering kali ditampilkan dalam acara ‘runway’ selain memiliki wajah yang cukup ‘high fashion’.
Dihoskan Cindy Bishop, 14 peserta itu bakal mendapat bimbingan daripada supermodel terkenal Kelly Tandiono manakala jurugambar terkenal Yu Tsai bertindak sebagai pengarah kreatif.
Pemilihan berkenaan dibuat mengikut pengalaman serta pengaruh setiap mereka apabila Cindy sendiri model yang sudah lebih 20 tahun dalam industri. Dia bakal mengangkat pertandingan itu ke tahap lebih hebat, penuh tenaga, serta glamor.
Kelly selaku mentor pula ditugaskan untuk memastikan peserta bersedia menempuhi cabaran sukar sepanjang pertandingan serta kongsikan panduan terbaik dalam kerjaya pada masa depan.
Pengalaman luasnya dalam industri filem bakal dicurahkan kepada 14 model berkenaan di samping menyuntik elemen drama dalam signatur peragaan masing-masing.
Cukup berpengaruh di Barat, Yu Tsai pula terkenal dengan cita rasa luar biasanya dalam bidang ‘high fashion’.
Pernah bekerjasama dengan nama handalan seperti Leonardo DiCaprio dan Anne Hathaway, terdahulu dia turut dilantik sebagai perunding kreatif untuk America’s Next Top Model selama tiga musim.
Wakil FOX Networks Group (FNG) Penny Tan berkata, diversiti peserta musim ini bakal menghangatkan lagi perjalanan pertandingan itu kelak.
“Bakat yang kami tampil­kan musim ini sangat diversiti dan pastinya persaingan antara mereka menjadi lebih sengit seperti di industri fesyen sendiri.
Adalah menjadi tang–gung­jawab utama kami untuk memberikan peluang sama-rata buat mereka menikmati serta belajar dalam perjalanan itu nanti,” katanya.
AsNTM musim keempat bakal memulakan siarannya bermula 9 Mac nanti, setiap Selasa, jam 9 malam di saluran Star World (Astro 702) dan Star World HD (Astro 722).

Leave a Comment