Mark mahu terus menyanyi

Sharing is caring!

Muzik adalah jiwanya dan lebih 10 tahun dia berkecimpung dalam bidang seni. Andai satu hari nanti kerjaya nyanyiannya buntu, dia tidak mungkin berhenti menyanyi.
Begitulah tinggi cinta penyanyi Mark Adam, 37, pada dunia seni. Baginya, tidak mungkin berputus asa sedangkan banyak tenaga dan usaha yang dilakukan semata-mata ingin capai tahap pada masa ini.
Katanya, dia mula minat menyanyi ketika usianya lapan tahun. Banyak cabaran diharungi dalam mencapai cita-cita itu. Malah Mark sanggup berjauhan dengan keluarga semata-mata mengejar impian itu.
“Pada masa akan datang, andai nyanyian tidak lagi berjalan lancar seperti sekarang, tidak ada istilah berhenti dalam hidup saya. Muzik adalah jiwa saya, selagi ada kudrat saya akan teruskan.
“Terlalu banyak susah senang yang saya lalui untuk mencapai tahap sekarang. Laluan saya sangat sukar. Walaupun sudah lama menyanyi, cuma sejak beberapa tahun lalu baru nama saya dikenali.
“Banyak lagi perkara yang ingin saya lakukan dan capai. Saya tidak anggap keadaan saya sekarang membolehkan saya menarik nafas lega. Ia adalah satu permulaan yang meniup semangat saya berusaha lebih gigih,” katanya.
Pada penghujung tahun lalu, video temubual Mark bersama stesen radio viral menerusi laman sosial Facebook apabila menceritakan pengalaman pertamanya menjejakkan kaki di Menara Berkembar KLCC hingga menyebabkan dia menitiskan air mata.
Walaupun cerita sedih tetapi ramai memberi komen hingga ada ketawa melihat cara Mark meluahkan perasaan. Ada yang menganggap Mark kelakar dan mereka terhibur menonton video itu.
Kata Mark, selepas video itu tersebar, setiap kali keluar di tempat umum, ramai yang akan melawak dengan menggunakan perkataan KLCC.
“Perkataan KLCC itu macam ‘punchline’. Apabila keluar dan bertemu peminat, mereka akan bertanya saya tidak pergi ke KLCC? Ada peminat yang pergi ke KLCC ‘tag’ saya di Instagram.
“Apa yang saya ceritakan dalam video itu hanyalah sebahagian kecil daripada kisah hidup saya. Ada banyak lagi cerita pahit yang tidak pernah saya kongsikan.
“Saya tidak sangka video itu viral. Ketika itu, saya cuma datang untuk memenuhi jemputan ditemubual. Apa pun, ia menjadi satu medium memperkenalkan diri saya secara lebih luas kepada umum,” katanya.
Siapa sangka penyanyi kelahiran Filipina ini dicalonkan dalam lima terbaik kategori Artis Lawak MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era (AME) 2016.
Mark terkejut dan tidak menyangka namanya naik bersama pelawak lain. Semuanya kerana kemunculannya kali pertama sebagai artis jemputan dalam program Bintang Mencari Bintang (BMB).
Kata Mark, selepas menjayakan program itu, dia kerap memeriahkan program Super Spontan dan mungkin itu adalah faktor dia disenaraikan dalam kategori berkenaan.
“Nama saya ada dalam senarai awal kategori lagu dan penyanyi tetapi tidak berjaya ke lima terbaik. Tidak sangka pula nama saya tersenarai dalam kategori Artis Lawak MeleTOP. Saya memang terkejut.
“Saya bukan pelawak. Saya pun tidak tahu macam mana nama saya boleh ada dalam kategori itu. Apapun, saya tetap hargai sokongan peminat. Saya tidak rasa akan menang sebab calon lain memang komedi itu ‘makanan’ mereka,” katanya.
Sekiranya tawaran berlakon drama mahu pun filem komedi banyak ditawarkan kepadanya, Mark masih meletakkan nyanyian sebagai kerjaya nombor satu. Dia tetap ingin dikenali sebagai penyanyi dan bukan pelawak.
Bagaimanapun, Mark tidak akan menolak seandainya ada tawaran menarik. Katanya, dia ingin mengasah bakat. Tambah pula pentas seni adalah punca pendapatannya.
“Tidak salah kita belajar benda baru. Saya suka komedi. Tidak sangka tanpa sengaja saya kini dikenali sebagai pelawak. Saya akan terima tawaran kalau ada yang bersesuaian dan tidak bercanggah dengan jadual.
“Bidang komedi ini akan menjadi ‘back-up’ untuk kerjaya sekarang. Kita tidak tahu akan bertahan sampai bila. Sekurang-kurangnya saya tahu ada bakat sebagai pelawak dan dapat digunakan kemudian hari,” katanya.

Leave a Comment