Tak mudah jadi pelakon

Sharing is caring!

Walaupun hanya watak kecil di layar perak melalui filem Delhi 6 pada 2009, ia nyata menjadi titik permulaan buat Aditi Rao Hydari, 29, mengukir nama.

Bagaimanapun, aktres jelita ini tidak menganggap watak sebagai balu dalam filem itu sebagai permulaan buat kerjayanya.
Katanya, dia membintangi Delhi 6 untuk memenuhi projek kuliah ketika masih bergelar mahasiswi di Lady Shri Ram College, University of Delhi.
“Walaupun saya dikenali menerusi filem itu, hakikatnya karya berkenaan tidak berjaya mendapat tempat di hati penonton. Saya sepi seketika dari dunia lakonan sebelum kembali menyerikan industri seni.
“Populariti saya meningkat dalam jangka masa singkat menerusi Yeh Saali Zindagi,” katanya.
Sejak membintangi filem itu, Aditi akui dia mula menjadi antara pelakon Bollywood yang mendapat permintaan tinggi sama ada pihak produksi mahupun pengarah.
Hampir tujuh tahun bergelar anak seni, Aditi masih melihat dirinya sebagai orang baru.
Katanya, menceburi bidang seni tanpa ilmu lakonan sememangnya sangat mencabar.
“Mengingat kembali kesulitan yang saya alami pada awal kemunculan, memang tidak mudah. Dari hari pertama sehingga kini, setiap langkah yang saya ambil umpama mendaki gunung.
“Saya meneruskan langkah kaki walaupun letih kerana merasa usaha itu suatu hari nanti akan dibayar dengan kejayaan,” katanya.
Dia akui industri filem di India sangat besar. Semua individu yang terbabit dengan filem mencari seseorang yang mempunyai bakat lakonan.
“Ketika mula berlakon, saya langsung tidak tahu apa-apa mengenai lakonan. Ia sangat sukar tetapi saya tetap maju ke depan.
“Saya bekerja dengan ramai individu yang hebat tidak kira pelakon mahupun pengarah serta kru penggambaran. Saya tidak banyak berlakon malah watak yang saya pegang juga cuma sebagai watak pembantu. Namun, sangat mengejutkan apabila ramai yang mengatakan ingin melihat saya berlakon,” katanya.
Tetap merendah diri walaupun pernah pegang pelbagai watak sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, dia masih menanggap dirinya umpama ikan kecil di lautan luas.
Katanya, dia sukar mendapat kepercayaan daripada pembikin filem untuk memegang watak utama kerana mereka tidak mahu mengambil risiko memberi karakter penting kepada orang baru sepertinya.
“Industri perfileman di India banyak dikuasai pelakon bertaraf antarabangsa. Agak sukar orang baru seperti saya untuk bersaing dengan mereka.
“Sudah pasti pembikin filem akan berikan watak utama kepada pelakon hebat dan terkenal kerana mereka adalah satu sebab penonton akan beli tiket dan menonton naskhah itu,” katanya.
Aditi juga sedar semua orang mahu menjadi tunjang utama dalam satu-satu karya begitu juga dirinya. Malah dia menanam impian untuk memegang karakter protagonis.
“Apabila bercakap mengenai filem, semua orang ingin berhati-hati agar karya itu memberi keuntungan. Saya sebenarnya berharap agar senario ini berubah.
“Keuntungan bukan semata-mata disebabkan pelakon tetapi secara keseluruhan iaitu skrip, jalan cerita, teknik kamera serta pemilihan pengarah yang sesuai,” katanya.
Apabila sesebuah filem itu kurang mendapat sambutan, Aditi kesal apabila kegagalan itu diletakkan di bahu pelakon sedangkan proses pembikinan itu membabitkan ramai pihak.
Katanya, dia melihat industri perfileman di Bollywood perlu banyak belajar daripada filem antarabangsa. Di Barat, mereka akan mengadakan uji bakat untuk orang baru bagi memegang watak utama.
Berbeza di India kerana dia sering mendengar alasan dirinya belum cukup bagus untuk dijadikan sebagai barisan hadapan melariskan filem.
“Saya kecewa apabila dikatakan masih belum layak memegang watak utama. Di Barat mereka mencipta watak, cabaran dan skrip berdasarkan tahap bakat seseorang pelakon itu tetapi tidak di Bollywood.
“Mereka bermula dengan nama kemudian meletakkan bakat itu pada tempat kedua. Sesiapa yang popular pasti dengan mudah menjadi teraju utama sedangkan bakat mereka masih belum cukup menyebabkan karakter itu pincang,” katanya.
Walaupun mempunyai pendapat sebegitu terhadap industri seni di Bollywood, Aditi tidak pernah terfikir untuk berhenti daripada kariernya. Dia mencintai lakonan dan akan tetap meneruskan kerjayanya.
Aditi juga berlakon dalam filem Fitoor berganding dengan Aditya Roy Kapur, Katrina Kaif, Tabu serta Lara Dutta. Filem arahan Abishek Kapoor itu mula ditayangkan di pawagam sejak 12 Februari lalu. Ia mengisahkan percintaan dua darjat antara Noor dan Firdaus.

Leave a Comment