Usaha cari kelainan

Sharing is caring!

Industri hiburan kita mempunyai beberapa pasangan penyanyi yang sering menjadi sebutan. Jika dahulu ada Hail Amir dan Uji Rashid, Nurul dan Ajai, Sharifah Aini dan Broery.
Bagaimanapun, kini andai disebut, hanya ada Khai dan Rosma. Tapi sejak pasangan penyanyi kelahiran Akademi Fantasia Musim Pertama, Khai atau Khairul Nizam Mohamad, 37, dan isteri, Rosma (Rosmayati Sidik, 34) sibuk dengan bidang bisnes, ramai menganggap seri mereka sebagai penyanyi kelam.
Hakikatnya kata Khai, mereka masih ada dalam industri seni dan turut memenuhi undangan persembahan. Cuma apabila jarang tampil di TV, Khai akui orang menyangka mereka sudah senyap.
“Kami belum ada satu lagu yang betul-betul boleh buat orang suka dan jatuh cinta. Dalam pada itu, kami perlu platform yang boleh bertahan jangka masa panjang dan bidang seni adalah platform untuk dikenali dalam bidang bisnes,” katanya.
Tanpa berselindung, Khai dan Rosma mengakui mempunyai beberapa lagu dirasakan sesuai, namun untuk pasaran mereka perlukan sokongan.
Kata Rosma, sokongan paling besar ialah bantuan daripada syarikat besar untuk ‘memasukkan’ lagu mereka ke stesen radio tempatan.
“Lagu kami sebelum ini, Sekali Lafaz dua tahun lalu kurang mendapat perhatian. Ia dipercayai kerana kurang sokongan daripada stesen radio.
“Sebagai penyanyi, walau sebanyak manapun lagu dihasilkan andai tiada sokongan kuat dari belakang terutama syarikat besar untuk memasukkan lagu ke radio, ia tugas sukar,” katanya.
Biarpun nasib mereka tidak seperti rakan lain, Khai dan Rosma tetap optimis dan terus mencuba sehingga berjaya.
Kata Khai, biarpun kurang perhatian di TV dan radio, masih ada ruang persembahan untuk mereka berdua beraksi di pentas.
“Ramai selesa panggil kami buat persembahan secara duet berbanding solo. Masa ini kami masih merancang sama ada tampil dengan album single berduet dan solo dengan konsep berbeza.
“Pendengar pada masa ini mungkin mahukan kelainan. Seperti kata Rosma, kami perlukan sokongan dari segi rakaman dan promosi lagu di radio.
“Kami tiada masalah untuk hasilkan lagu, cuma lemah dari segi promosi di media elektronik,” katanya terus berusaha mencari kelainan.
Khai berkata, mereka baru saja ‘merisik’ untuk mendapatkan khidmat komposer Zul 2by2 dan jika tiada aral, projek pertama yakni single duet kedua mereka akan diteruskan.
Penyanyi lagu Dambaan Pilu yang pernah beraksi dalam filem dan TV sebelum ini, turut rindu untuk kembali berlakon. Apatah lagi, kali terakhir dia berlakon sekitar empat tahun lalu.
Katanya, walaupun ada tawaran, dia berdepan dengan isu jadual yang tidak bersesuaian. Malah tempoh masa lama di set penggambaran juga membataskan tugasnya yang lain.
“Kadang-kadang tengok juga watak yang ditawarkan sesuai atau tidak. Bila dapat tahu Aziz M Osman akan tampil dengan filem XX Ray 3, saya jadi teruja.
“Tambah pula sejak filem XX Ray, saya mula jatuh hati dengan pengarahan Aziz. Saya juga teringin untuk bekerja di bawah arahan Syamsul Yusof dan Afdlin Shauki,” katanya berharap dapat peluang itu satu hari nanti.
Rosma buang ego
Gelaran usahawan yang digalas sejak lapan bulan lalu bukan saja menjadi sumber rezeki mereka kini malah Khai dan Rosma mengakui perniagaan mengeratkan hubungan mereka.
Kata Khai, untuk bergelar usahawan berjaya, banyak perkara perlu dipelajari. Apatah lagi selain bergelar usahawan produk kecantikan, mereka juga baru membuka kafe pertengahan tahun lalu.
Kata Khai, fokus utama kini memasarkan produk, namun untuk bisnes kafe, ia bukan hal mudah. Terutama membabitkan sistem inventori dan pengurusan.
“Pada masa ini, kami mahu fokus pada produk Magic Slim sahaja. Seterusnya mahu perkenalkan produk penjagaan kulit pula. Terlalu banyak benda kami kena belajar untuk bergelar usahawan berjaya.
“Ia juga jadi satu rahsia kebahagiaan rumah tangga sebab apa saja berkaitan bisnes, projek atau hal rumah tangga, kami berbincang bersama,” katanya.
Pasangan romantis yang berkahwin pada 26 April 2008 ini dikurniakan dua anak, Muhammad Amzar Danish, 6, dan Nur Amani Damia, 1. Mereka membina ‘cinta rahsia’ ketika sama-sama menyertai AF1 pada 2003.
Sebagai pasangan muda, Khai dan Rosma mengamalkan sikap tolak ansur dan faham tanggungjawab masing-masing dalam menjalani kehidupan suami isteri.
Kata Khai, jika ada isu atau perselisihan pendapat, selalunya mereka akan melihat alasan siapa yang lebih kukuh. Malah, mereka sering meluangkan masa keluar bersama seperti dulu.
Rosma pula menjelaskan, paling penting ialah menolak ego dan perkara itu juga diamalkan sejak mula-mula berkawan dengan Khai.
“Saya belajar bagaimana untuk mengawal ego dan perasaan marah. Malah kalau masing-masing ada salah, kami cepat-cepat minta maaf dan mengaku kesalahan.
“Kami memang tidak akan ambil masa lama untuk minta maaf dan perbetulkan kesilapan. Sedar saja buat salah, terus minta maaf walau sebesar kuman sekalipun,” dedah Rosma.

Leave a Comment