Beza umur bukan penghalang

Sharing is caring!

Selepas 10 tahun menduda, pelawak popular tanah air, Angah Raja Lawak mengakhiri zaman bujang dengan gadis pilihannya, Amira Asyura Abd Razak (Wawa) pada 19 Februari lalu.

Ternyata, perbezaan usia 17 tahun bukan penghalang untuk Angah, 38, memilih penuntut tahun dua jurusan Komunikasi Massa Universiti Teknologi Mara (UiTM), Lendu, Melaka ini sebagai suri hidupnya.

Menurut Angah atau nama sebenarnya, Iskandarsah Hashim, walaupun masih muda, Wawa matang dan memenuhi kriteria wanita idamannya.

“Saya mula berkenalan dengan Wawa selepas diundang ibu bapanya untuk mengacara majlis bersama kumpulan Tauke pada 2013.

“Selepas mengenalinya, hati saya terbuka untuk berumah tangga buat kali kedua. Saya tertarik dengan Wawa kerana dia sentiasa mengambil berat dan penyayang.

“Selain itu, saya juga selesa dengan layanan keluarganya sepanjang kami berkawan dan mengikat tali pertunangan tidak lama selepas itu.

“Kami sepakat berkahwin tahun ini dan syukur akhirnya dia menjadi milik saya,” katanya yang mempunyai seorang anak hasil perkahwinan terdahulu.

Bagi Wawa pula, dia sudah bersedia bergelar isteri kepada selebriti.

“Awal perkenalan, saya tidak tahu Angah pelawak kerana jarang menonton televisyen.

“Selepas enam bulan berkawan, saya dapat menyesuaikan diri dengan kariernya sebagai artis dan menerima dia seadanya.

“Hati saya mula terbuka untuk menerimanya sebagai suami apabila dia menunjukkan kesungguhan untuk berjumpa dengan keluarga saya biarpun kami baru saja berkawan,” katanya.

Wawa mengakui tertarik dengan Angah kerana suaminya itu seorang yang bertanggungjawab dan berjiwa penyayang.

“Angah juga pandai memasak dan antara masakannya yang saya suka ialah rendang ayam.

“Saya juga menerima kehadiran anak angah daripada perkahwinannya terdahulu, Nurrina Fassha, 13, dalam hidup kami sejak awal lagi,” katanya.

Dengan sekali lafaz, Angah selamat diijabkabulkan de­ngan Wawa dalam majlis pernikahan yang berlangsung di kediaman pengantin perempuan di Melaka Perdana Resort Homes, Ayer Keroh, jam 10.10 pagi, Jumaat lalu.

Majlis pernikahan disempurnakan Imam Satu, Masjid Ar-Rahman Kampung Tun Razak, Mohamad Suhaimi Kassim dan berwalikan datuk Wawa, Adruss Omar.

Angah turut menyerahkan wang hantaran RM15,000 dan mas kahwin berupa seutas rantai emas dan sebentuk loket berlian serta enam dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak perempuan.

Leave a Comment