Dakwah cara Syamsul

Sharing is caring!

Selepas tiga tahun menyepi, pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof kini kembali dengan karya terbaru berjudul Munafik.

Bukan sekadar filem seram biasa, Munafik mengetengahkan mesej seimbang antara kisah kehidupan moden dan kewujudan alam ghaib.

Selain dirinya, filem hebat ini turut dibintangi Nabila Huda, Fizz Fairuz, Pekin Ibrahim, Sabrina Ali, A Galak dan Datuk Rahim Razali.

Bagi Syamsul, Munafik adalah salah satu karya yang dekat di hatinya.

“Munafik sangat peribadi. Apa yang terpendam dalam hati selama ini, saya luahkan dalam filem ini.

“Tidak dinafikan, Munafik naskhah berat, jadi saya reda sekiranya ada yang kritik. Saya dan seluruh produksi sudah memberikan yang terbaik, terpulang kepada penonton untuk menilainya,” katanya.

Menurut Syamsul lagi, bukan hanya naratif, judulnya saja juga sudah berat hingga mendapat pelbagai reaksi.

“Setiap orang ada persepsi masing-masing. Judul Munafik itu sendiri berat dan memang sensitif apabila membabitkan

agama.

“Apa yang saya boleh katakan, sekiranya filem ini ditonton dan difahami, insya-Allah penonton dapat cerap mesej yang ingin saya sampaikan,” katanya.

Ditanya mengenai penggunaan ayat al-Quran dalam beberapa babak, Syamsul memaklumkan pihaknya mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF).

“Untuk hukum-hakam dan sebutan ayat suci al-Quran, saya merujuk kepada pihak LPF yang ada pengalaman. Takut juga sekiranya ada bacaan yang salah dan tidak betul hukumnya. Namun, alhamdulillah semuanya okey,” katanya.

Rata-rata menyifatkan filem ini sebagai penanda aras untuk filem seram berbahasa Melayu. Bagi Syamsul, apa yang utama buatnya adalah melatih dirinya menjadi pengarah versatil dan menyelitkan elemen agama dalam karyanya.

“Saya ingin menjadi pengarah versatil dan tidak mahu hanya terikat dalam satu genre sahaja.

“Saya ingin menyelitkan elemen agama dalam setiap filem dan kalau boleh saya harap pengarah lain dapat melakukan perkara sama.

“Saya tidak mahu orang melihat Islam itu agama yang sempit kerana kita sebenarnya boleh pelbagaikan watak dan karya,” katanya.

Ditanya pendapatnya mengenai industri perfileman tanah air, Syamsul mengakui masih tercari-cari kehendak penonton.

“Sampai sekarang saya masih mencari. Namun, sekarang saya membuka lembaran baru dan rasanya penonton kita juga semakin matang.

“Apa yang penting, pengarah perlu bekerja keras mencuri perhatian penonton dan melangkaui pemikiran mereka. Hasilnya, kita dapat memberikan sesuatu yang luar daripada kebiasaan,” katanya lagi.

Bagi Nabila Huda, tawaran untuk membawakan watak Mariam tidak mampu ditolaknya.

“Apabila ditawarkan watak dan diberikan skrip oleh Syamsul, saya terus setuju.

“Watak Mariam sangat berat kerana perlu banyak bermain dengan emosi dalaman dan ekspresi wajah. Ada beberapa aksi dalam Munafik saya lakukan sendiri,” katanya.

Ditanya bagaimana menghayati watak itu, Nabil berkata, dia banyak berbincang dengan Syamsul bagi mendapatkan hasil terbaik.

“Syamsul akan menjelaskan apa yang dia mahu daripada watak Mariam dan saya saya akan terjemahkan dengan cara saya sendiri. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya lagi.

Berkongsi pengalaman menghasilkan filem ini, Syamsul berkata, paling tidak dilupakan babak terakhir di rumah banglo lama.

“Lokasinya adalah banglo lama di Puchong. Banyak juga cerita menakutkan saya dengar daripada penduduk sekitar mengenai rumah ini.

“Tidak ada pengalaman menakutkan, namun babak terakhir kami sukar mendapatkan fokus kamera walaupun selepas beberapa kali mencuba.

“Untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini, pihak produksi menggunakan khidmat seoang ustaz,” katanya.

Munafik mengisahkan kehidupan Ustaz Adam lakonan Syamsul yang baru sahaja kematian isterinya, Zulaikha akibat nahas jalan raya.

Dia yang masih tertekan selepas insiden itu terpaksa membantu mengubati Mariam (Nabila) yang diganggu makhluk halus sehingga histeria.

Sepanjang membantu Mariam, pelbagai insiden aneh berlaku sehingga ada yang menyebabkan kematian orang terdekat.

Munafik bakal menggegarkan pawagam seluruh tanah air bermula 25 Februari ini.

Leave a Comment