Jude Law perjuang nasib pelarian di Calais

Sharing is caring!

Selebriti Britain, termasuk Jude Law dan penulis drama, Tom Stoppard, antara yang membuat persembahan di kem pendatang ‘Jungle’ di utara Perancis, semalam bagi menarik perhatian ramai terhadap nasib pelarian yang berhadapan pengusiran. Bintang ‘Sherlock Holmes’ dan ‘The Talented Mr Ripley’ itu dilihat mengharungi lumpur dan pondok sementara untuk ke teater Good Chance, yang didirikan sukarelawan Britain tahun lalu. Kira-kira 200 penghuni kem itu menyaksikan persembahan Law dan sekumpulan pelakon, pelawak dan penyanyi Britain, termasuk Tom Odell dan Toby Jones. Acara itu dianjurkan Letters Live, yang meminta selebriti membaca surat daripada tokoh bersejarah terkenal. Law membantu menganjurkan petisyen kepada Perdana Menteri Britain, David Cameron, minggu ini, menggesa beliau mendesak Perancis menangguhkan pemusnahan bahagian selatan kem berkenaan, yang akan bermula esok. Lebih 96,000, termasuk 150 tokoh terkenal, menandatangani surat, menggesa kanak-kanak di Jungle yang ada saudara-mara di Britain disatukan semula dengan keluarga masing-masing sementara kes permohonan suaka mereka didengar.

Leave a Comment