Tunai impian ayah

Sharing is caring!

Pelakon cantik Raja Ilya mengakui pernah berdepan dilema memenuhi impian ibu bapanya suatu ketika dahulu.

Bapanya mahu dia berkhidmat sebagai anggota polis manakala ibu pula menggalakkannya bertugas di awan biru.
Ilya akhirnya akur dengan permintaan ibunya memilih pramugari sebagai karier, sekali gus menghampakan bapanya.
Namun, siapa sangka pemilik nama sebenar Raja Ramilah Begum Raja Mohamad, 31, ini berpeluang menyarung pakaian seragam polis walaupun hanya dalam drama.
Menerusi Gerak Khas 2016 yang akan menemui penonton di saluran TV2 setiap Jumaat jam 9 malam bermula 4 Mac nanti, Ilya melakonkan watak Syakila.
“Ayah dan ibu saya sudah lama berpisah. Dari kecil saya memang lasak dan suka bergaya ala tomboi. Keluarga pula kebanyakannya bekerja dalam pasukan beruniform.
“Ayah mahu saya jadi polis dan minta saya menghadiri temu duga selepas tamat pengajian pada 2004.
“Emak pula tak suka dan mahu saya jadi pramugari. Tegasnya nanti saya susah bertemu jodoh,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran musim baru Gerak Khas 2016 di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), baru-baru ini.
Sambung pelakon berdarah campuran Melayu, Malayalam, Arab serta Pakistan ini, dia menghadiri kedua-dua temu duga dan terpillih, namun memutuskan untuk berkhidmat dengan Penerbangan Malaysia (MAS).
“Saya gembira kerana dapat tunaikan impian ayah. Ketika pakai baju seragam polis, saya ambil gambar dan muat naik di Instagram.
“Adik saya tunjuk gambar itu kepada ayah dan dia sebak. Sebenarnya kalau ayah tak suruh, polis memang cita-cita saya sejak di bangku sekolah selain pelakon dan pramugari. Tak sangka semua jadi kenyataan,” katanya riang.
Tampil gila-gila
Jika sebelum ini Ilya kerap diberikan watak antagonis, menerusi Gerak Khas 2016 dia tampil berbeza apabila perlu jadi gila-gila.
“Bukan senang nak buat kelakar apabila pakai baju polis. Ketika itu cara bercakap dan berjalan juga jadi lain, tetapi saya cuba buat yang terbaik seperti diinginkan Datuk Yusof Haslam.
“Saya berterima kasih kepada Salina Saibi kerana mengajar cara berjalan yang betul sebagai anggota polis. Dia ikon saya dalam drama ini.
“Saya terus masuk set penggambaran tanpa menjalani sebarang latihan. Pun begitu ia bukan masalah besar kerana saya meminati kerjaya polis sejak kecil,” katanya.
Ilya turut menjelaskan berat hati sekiranya diberikan watak gadis kampung yang baik dan sopan kerana wajah serta penampilannya kurang sesuai.
Ditanya sama ada pembabitan dalam Gerak Khas boleh menjejaskan ‘nilainya’ di mata penerbit lain, tegas Ilya, dia sama sekali tidak bimbang.
“Ramai pertikai kenapa saya terima tawaran ini. Bagi saya apa salahnya kerana ia cabaran baru untuk saya.
“Saya bersetuju menjayakan drama ini kerana menghormati Datuk Yusof dan keduanya mengagumi pasukan beruniform.
“Saya tak rasa drama ini akan menjejaskan populariti saya. Buktinya tawaran daripada penerbit lain masih ada seperti biasa. Jadi, apa nak risau?
“Tak dinafikan komitmen untuk Gerak Khas agak lama iaitu sekitar enam bulan. Jadi saya
kenalah susun jadual sebaik mungkin,” katanya yang kini terikat de­ngan penggambaran filem Soulmate arahan
Profesor Datuk Abdul Razak Mohaideen yang turut dibintangi Taufik Batisah dan Erra Fazira.

Leave a Comment