Konsert khas kenang jasa Tan Sri SM Salim

Sharing is caring!

KONSERT khas bagi memberi penghormatan kepada penyanyi legenda Tan Sri SM Salim akan diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 12 Mac ini.

Persembahan anjuran Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) bakal membariskan 18 artis popular tanah air iaitu Datuk DJ Dave, Datuk M.Nasir, Datuk A.Rahman Hassan, Datuk Ramli Sarip, Datuk Yusni Hamid, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Andre Goh dan Zur Eda.

Turut serta Noraniza Idris, Ezad Lazim, Zahid AF, Usop Kopratasa, Raihan, Hasmidar, Bob Yusof, Alyah,Syafinaz, Haziq dan Syafinaz Selamat.

Pengerusi YA1M, Datuk Irwan Shah Abdullah yang juga dikenali sebagai DJ Dave berkata, konsert yang dinamakan ‘Tribute To Living Legend – Tan Sri SM Salim’ itu diadakan secara percuma namun badan korporat, rakan artis serta orang perseorangan digalakkan untuk menderma untuk mengisi tabung YA1M.

“Sebagai badan yang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan para artis di hari tua mereka, kesemua hasil pendapatan dari konsert ini akan disalurkan kepada dana bantuan dan kebajikan Yayasan bagi tujuan membantu rakan-rakan artis yang memerlukan,” katanya.

Menurut Dave tidak mustahil konsert yang sama akan diteruskan pada tahun akan datang demi memastikan lebih ramai lagi artis veteran yang dapat diberikan penghargaan sewajarnya.

“Tan Sri SM Salim adalah contoh terbaik sebagai seorang seniman yang berjaya yang berganding rapat dengan artis dari pelbagai era dan generasi. Amat wajar beliau diangkat dan diberikan penghargaan melalui konsert,” katanya.

Leave a Comment