KPN kesal dakwaan kerajaan Australia

Sharing is caring!

Tindakan kerajaan Australia yang mengeluarkan amaran berhubung ancaman serangan pengganas di sekitar ibu negara mengundang rasa tidak senang Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Menurutnya, perkara ini tidak sepatutnya dikeluarkan oleh kerajaan Australia berikutan keadaan negara (Malaysia) yang masih selamat.

“Dari mana sumber mereka (kerajaan Australia) peroleh sehingga mengeluarkan amaran seperti itu sedangkan keadaan di negara ini adalah aman.

“Saya tidak pasti kenapa ia dikeluarkan dan saya kecewa dengan perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar bersama Panglima ATM, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin selepas lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di pusat beli-belah Pavilion di sini, hari ini.

Hari ini, Australia mengeluarkan amaran agar rakyat negara itu supaya menimbangkan semula keperluan untuk pergi ke kawasan pantai timur Sabah.

Terdahulu, Najib ditemani Khalid dan Zulkifeli meninjau kawasan rondaan bersama anggota PDRM serta ATM yang terbabit Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) selama sejam di pusat beli-belah tersebut.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan Australia perlu berkongsi dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika tahu ancaman sebegini kerana pihaknya juga biasa berkongsi sebarang maklumat khususnya berkaitan keganasan.

Katanya, polis dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus meningkatkan tahap keselamatan negara untuk memastikan negara bebas daripada sebarang ancaman.

Tambahnya, bagi mempertingkat keselamatan dalam negara, kerjasama rondaan PDRM dan ATM di kawasan-kawasan tumpuan seperti pusat beli-belah dan lapangan terbang akan diteruskan sehingga rakyat berpuas hati dan yakin dengan tahap keselamatan.

“Orang ramai tidak perlu risau kerana keadaan setakat ini selamat,” katanya.

Leave a Comment