‘Growing Up Sucks’ Bukan Bawa Pengaruh Negatif – SonaOne

Sharing is caring!

Penyanyi Hip Hop, SonaOne, menjelaskan judul album sulungnya ‘Growing Up Sucks’ bukan menggambarkan pengaruh negatif sebaliknya sarat dengan mesej positif menerusi 12 lagu yang dimuatkan dalam album tersebut.

Jelas pemilik nama sebenar Mikael Adam Lozach Mohd Rafee Michel Lozach ini,  album tersebut adalah satu testimoni tentang dan perasaan ketika mula-mula melangkah dan perlu menjalani kehidupan dn melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang yang dewasa.

“Judul dalam album ni bunyinya macam negatif tapi sebenarnya ada banyak mesej positif yang diselitkan melalui lirik dan lagu yang saya hasilkan. Album ni juga sebagai mengembalikan memori dan nostalgia kita sewaktu di zaman kanak-kanak.

“Sewaktu saya di usia 22 tahun, ketika baru habis kolej, timbul satu perasaan dalam diri di mana saya seolah-olah saya susah mahu menerima dan menjalani kehidupan sebagai orang dewasa. Pernah sampai saya rasa rindu sangat momen pergi ke kelas, lepak dengan kawan-kawan. Rasa macam nak selamanya jalani kehidupan sebagai kanak-kanak yang menyeronokkan tanpa perlu memikul pelbagai tanggungjawab.

“Berbanding menjalani kehidupan sebagai orang dewasa misalnya kita harus bangun pagi, pergi kerja, kena bayar bil sendiri, perlu berjumpa dengan orang yang kita tak suka dan sebagainya. Selama lima tahun saya tu saya rasa begitu dan dari situ juga timbul idea untuk konsep album ini,” kongsinya kepada Malaysian Digest ketika ditemui pada majlis pelancaran albumnya itu, bertempat di ibu kota baru-baru ini.

Tambahnya lagi, album mengambil masa selama lebih kurang enam tahun ini juga memperlihatkan kematangannya menempuh pelbagai pengalaman sehingga berjaya mencapai impiannya sebagai penyanyi selain turut berkongsi mengenai kisah peribadinya.

“Sekarang saya sudah 27 tahun dan sudah semakin boleh menerima kehidupan sebagai orang dewasa. Walaupun kadang-kadang masih ada rasa teringin nak pergi ke taman permainan, nak berseronok macam kanak-kanak.

“Sekarang saya sedar walau apa pun, kita hanya perlu jalani kehidupan dengan lebih terbuka, lupakan apa yang sudah lepas atau sudah terjadi sebaliknya pandang ke hadapan.

“Selain lirik yang ditulis adalah bersifat peribadi yang menceritakan pengalaman dilaluinya sejak berumur 22 tahun sehingga kini. Jika anda ingin mengetahui sisi peribadi SonaOne jadi kenalah dengar sendiri album ini kerana saya meluahkan banyak perkara menerusi lirik yang saya tulis,” katanya.

Antara lagu yang dimuatkan di dalam album tersebut ialah dua single hitsnya, No More dan Hekeleh dan lagu lain seperti Growing Up Sucks, Mama’s Boy, Firefly, Sunrise, Cold dan I Dont Want to Die Alone. Album ini juga tidak akan dijual dalam bentuk fizikal sebaliknya hanya boleh didapati secara digital.

Dalam pada itu SonaOne berkata dia sangat gembira dengan penerimaan peminat terhadap lagu-lagunya malah semakin dikenali ramai lebih-lebih lagi selepas lagu kolabirasinya bersama Joe Flizzow menerusi lagu Apa khabar memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) yang ke-29 lalu..

“Saya gembira kerana selepas AJL, perjalanan karier saya semakin mudah dan ramai yang mengenali dan mendengar lagu-lagu saya. Secara tidak langsung kejayaan di AJL memotivasikan diri saya untuk terus menghasilkan karya-karya yang lebih baik.

“Berbanding ketika di awal-awal kemunculan saya sekitar 2011, saya berkerja keras menghasilkan lagu tetapi ketika itu tak ramai yang mahu mendengar lagu saya,” katanya yang juga mengakui tidak kisah sekiranya masih ada menganggap dia dibayangi oleh mentornya iaitu Joe Flizzow.

Leave a Comment