Menghargai seniman terbilang

Sharing is caring!

Peminat Tan Sri SM Salim yang merindui lagu beliau bakal berpeluang menyaksikan lagunya dialunkan penyanyi terkenal pada konsert tribute yang diadakan pada 12 Mac ini.
Bertempat di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur, konsert diberi nama Tribute To Living Legend Tan Sri SM Salim itu membabitkan 18 artis baru dan lama.
Konsert selama sejam 45 minit itu bermula pada jam 8.30 malam di mana artis yang terbabit ialah Datuk M Nasir, Datuk Khadijah Ibrahim, Datin Alyah, Syafinaz, Ezad Lazim, Haziq, Zur Eda dan ramai lagi.
Konsert tribute ini adalah konsert penghargaan yang pertama diadakan sebagai tanda hormat kepada seniman agung yang masih hidup.
Dianjurkan Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M), konsert berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Pengerusi YA1M, Datuk DJ Dave berkata, ini adalah penghargaan buat SM Salim kerana beliau contoh terbaik sebagai seorang seniman yang berjaya berganding rapat dengan artis daripada pelbagai era dan generasi.
“Konsert ini penghargaan istimewa untuk beliau dan dana yang terkumpul digunakan membantu artis seangkatan lain yang memerlukan.
“Tiada jualan tiket, tetapi setiap tiket yang diperoleh terpulang kepada penonton untuk membayar jumlahnya.
“Pada malam konsert juga penonton yang ada tiket masih berpeluang memberi sumbangan mengikut keikhlasan mereka,” katanya.
Selain itu, YA1M berharap ada mana-mana badan korporat sudi menaja atau memberi sumbangan untuk konsert ini.
Tempat yang terhad juga diharap dapat memberikan sebuah persembahan yang eksklusif kepada penonton.
“Apabila DBKL sudi menaja tempat, kami sangat berbesar hati. Justeru, Auditorium hanya mampu memuatkan 700 tempat duduk.
“Saya sedar ia sangat terhad untuk siapa yang cepat. Pun begitu, saya yakin konsert ini menjanjikan kepuasan buat semua penonton yang rindu mendengarkan lagu popular daripada SM Salim,” katanya.

Leave a Comment