Sentuhan luar biasa Garin

Sharing is caring!

Artistik dalam komersial. Gabungan dua elemen itu mungkin boleh menjadi jerat apabila seorang sutradara menyuntiknya sekali gus dalam karya mereka.
Silap haribulan, mesejnya mungkin tidak sampai kepada penonton.
Namun, siapa mahu menafikan sentuhan magis sutradara disegani Indonesia, Garin Nugroho apabila berkarya.
Biarpun dia menyifatkan buah tangan terbarunya, Aach…Aku Jatuh Cinta (AAJC) ringan tetapi tetap ada pemberatnya juga.
Garapan kisah menggabungkan mitos cinta agung Romeo & Juliet dan kekacauan dalam kartun Tom & Jerry itu jelas sungguh ‘tricky’.
Apa yang pasti, ia bukan sekadar kisah cinta klise, tidak longgar dan realistik.
Tampil dengan karya cinta selepas 25 tahun semestinya bukan mudah. Kali terakhir dia mengarah filem cinta ialah Cinta Dalam Sekeping Roti pada 1991. Apa lagi, era sudah berganti dan penerimaan kini jauh berbeza.
Lebih berat, menerusi AAJC Garin bukan menempel cerita buatan kerana kisah cinta Yulia lakonan Pevita Pearce dan Rumi (Chicco Jerikho) diilhamkan daripada pengalaman sebenar dirinya.
Mengenakan pendekatan bersifat peribadi begitu, Garin tidak menafikan timbul kekangan apabila berbuat demikian seolah-olah membuka pekung kisah silamnya.
“Seorang artis selalu bertempur dengan diri sendiri dan begitu juga saya dalam menghasilkan karya ini. Seniman yang menarik adalah seniman yang sentiasa bertempur dengan paradoks dalam dirinya.
“Saya harus berani membentuk selera filem itu dan untuk menaikkan selera adalah dengan membaca penonton. Itulah yang menjadi teras kepada keberanian saya untuk melawan kebimbangan peribadi memasukkan kisah sendiri dalam filem ini,” katanya pada sidang media pratonton eksklusif AAJC di GSC Pavilion, Kuala Lumpur, malam kelmarin.
Cukup dikagumi kerana ketelitiannya, Garin membuktikan keseluruhan aspek AAJC berada pada tahap tertinggi.
Dari minit awal lagi, keindahan sinematografinya sangat mengagumkan dan tidak dinafikan ia berada dalam kelas tersendiri.
Mengangkat zaman era 1990-an, perletakan segala props, busana, bangunan dan sebagainya sangat menepati era itu.
Apapun, harus diakui keindahan yang paling menggamit emosi semestinya menerusi kata-kata puitis dalam dialog setiap pelakon. Sasteranya sangat cemerlang disampaikan secara ‘natural’ dan tidak kekok.
Tidak hairanlah ia mesra dan mudah dihadam penonton kerana penekanan itu sendiri memang diserap Pevita dan Chicco semenjak sebelum penggambaran.
Bahkan, setiap hari sewaktu memasuki set, mengirim puisi adalah tugasan utama diberikan Garin kepada kedua-duanya.
“Pendekatan yang Garin ambil sangat berbeza di mana untuk proses pembacaan skrip digantikan dengan bengkel. Dalam sebulan sebelum memasuki set penggambaran, kami kena benar-benar tidak berenggang dengan telefon bimbit masing-masing.
“Dalam satu hari, kami diminta untuk mengirim minimum lima puisi dalam kumpulan antara saya, Pevita dan Garin sendiri. Siapa yang bagi kurang daripada angka itu, maka dialah akan dikerjakan.
“Saya sendiri tidak pernah berpuisi, namun tugasan itu mengembangkan kebolehan saya untuk lebih puitis,” katanya.
Bukan sekadar mengisahkan percintaan Yulia dan Rumi, pemberat AAJC dilengkapkan dengan suntikan pergolakan ekonomi, sosial, politik, kekeluargaan dan perubahan zaman.
Biarpun sudah ditayangkan di Indonesia, filem berkenaan melakar kejayaan indah apabila turut ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Busan pada Oktober tahun lalu.
Istimewanya, AAJC menjadi modal pertama hasil kolaborasi syarikat penerbitan filem tempatan FiTA Studios dengan Multivision Plus (MVP) di Indonesia. Dijalin sejak Januari lalu, perjanjian itu merang­kumi aspek pengeluaran, promosi dan pengedaran kandungan media.
Pengarah UiTM Holdings dan FiTA Studios Sdn Bhd. Ahmad Nasharuddin Hamzah berkata, kerjasama berkenaan diharap mampu meluaskan pengaruh karya tempatan ke negara serantau.
“Ini adalah permulaan FiTA Studios untuk merangka kerjasama dengan beberapa produksi serantau seperti Thailand dan Singapura. Usaha ini diharapkan mampu membuahkan hasil untuk melihat dan menjadikan Fakulti Perfileman, Teater dan Animasi UiTM setaraf sekolah perfileman di New York University (NYU), Amerika Syarikat,” katanya.

Leave a Comment