Buah tangan terbaru PITAHATI

Sharing is caring!

Pitahati kini hadir dengan buah tangan baru berjudul Selamat Datang ke Panggung Suara. Album rock progresif ini memuatkan lagu termasuk instrumental yang dimuatkan dalam filem Terbaik Dari Langit.
Lebih menarik, album yang memuatkan 18 lagu ini majoritinya dirakam secara langsung dalam studio yang tidak kedap bunyi.
Dianggotai Ilham selaku vokalis, Hidayat (gitaris), Zahar (gitaris), Masrin (bassis) dan Yasin (pemain dram), mereka menimba pengalaman baru menerusi pembinan album ini.
“Banyak cabaran apabila merakamkan lagu secara langsung, lebih-lebih lagi apabila studio yang kami gunakan tidak kedap bunyi. Ada ketikanya, kami perlu hentikan rakaman kerana ada bunyi motosikal dan pelbagainya.
“Kami juga pernah hentikan rakamkan dua kali kerana hujan dan bunyinya sangat kuat,” kata Masrin.
Namun begitu, Pitahati mengakui berpuas hati dengan kerja keras selama tiga minggu itu.
“Banyak ilmu baru kami peroleh sepanjang pembikinan album ini. Penghasilannya lebih tulus kerana kami mengekspresikan jiwa kami sepenuhnya,” kata Hidayat.
Selain diterbitkan dalam bentuk cakera padat, album Selamat Datang ke Panggung Suara juga turut dijual dalam bentuk piring hitam.
“Kami melihat piring hitam sebagai medium yang sangat eksklusif dan unik. Banyak sebab kami memilih menghasilkan album ini dalam bentuk piring hitam antaranya kualiti muzik yang sangat halus.
“Ramai juga artis masa kini melakukan perkara sama kerana piring hitam boleh disimpan lama dan peminat juga akan lebih puas,” katanya lagi.
Menyajikan muzik berbeza untuk album ketiga ini, Pitahati berharap ia dapat memberi lebih pilihan kepada pendengar khususnya pengikut setia mereka.
“Apa yang dimainkan di corong radio pada hari ini adalah muzik yang lebih kurang sama. Jadi, kami ingin berikan sesuatu yang berbeza,” kata Hidayat lagi.
Ditanya mengenai kehendak pasaran dan jiwa band itu, Hidayat menjelaskan Pitahari mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap muzik yang diperjuangkan.
“Pasaran dan kehendak peminat berubah-ubah. Kami mahu jadi peneraju muzik baru di negara ini.
“Soal populariti, kami tidak mengharapkan apa-apa. Paling penting, orang kenal kami menerusi muzik. Pun begitu tidak dinafikan populariti boleh menjadi dorongan.
“Bukan tidak realistik, tetapi kami tahu dan yakin ada yang dambakan muzik seperti yang Pitahati ketengahkan. Kami bersyukur dengan maklum balas peminat di laman sosial,” katanya.

Leave a Comment