Kejelitaan, pengaruh di laman sosial sekadar bonus – Pevita

Sharing is caring!

Aktres Indonesia, Pevita Pearce, menafikan pemilihannya untuk membintangi filem Aach…Aku Jatuh Cinta (AAJC) kerana faktor kecantikan dan jumlah pengikutnya yang ramai di laman sosial Instagram dan Twitter. Sebaliknya, wanita ini optimis beliau memiliki bakat lakonan tersendiri sehingga menjadi pilihan pengarah yang juga penulisnya, Garin Nugroho, untuk membintangi filem terbabit. Menceburi dunia seni sejak lebih sedekad lalu, si manis berdarah campuran Inggeris dan Indonesia itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pratonton filem berkenaan di ibu kota, baru-baru ini. “Bagi saya, faktor fizikal dan pengaruh di laman sosial hanyalah sebagai bonus. Saya percaya, ramai artis di seluruh dunia menggunakan medium berkenaan untuk mempromosikan sebarang kerjaya seni mereka, sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ia bukan sesuatu yang pelik. “Bagaimanapun saya juga percaya jika hanya bersandarkan perkara sebegitu tanpa ada kemahiran dalam lakonan dan bakat, takkan saya dicalonkan dalam beberapa anugerah sebelum ini? “Sebagai pelakon dan manusia, saya sentiasa memperbaiki kelemahan yang ada. Hendak dikatakan saya masih baharu dalam bidang ini pun tidak boleh juga kerana sudah 14 tahun saya berkecimpung di arena seni,” katanya kepada BH Online. Pevita sebelum ini pernah membintangi filem Denias, Senandung di Atas Awan, Lost in Love, Rasa, Dilema, Sanubari Jakarta, 5 cm, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Aku Cinta Kamu. Wanita ini mempunyai lebih 5 juta pengikut di laman Instagram dan lebih sejuta lagi di Twitter. Filem AAJC menggandingkan Pevita dengan Chicco Jerikho. Filem memaparkan kisah cinta berlatarkan era 1970-an itu dijangka ditayangkan di Malaysia dalam masa terdekat. Di Indonesia, filem ini menemui penonton mulai 4 Februari lalu. AAJC juga sudah menjengah ke beberapa festival filem antarabangsa seperti Festival Filem Rotterdam, Belanda; Festival Filem Asian Netpac; dan Festival Filem Antarabangsa Busan, Korea.

Leave a Comment