Liza Hot FM tamat zaman solo

Sharing is caring!

BAKAL menamatkan zaman bujangnya tidak berapa lama lagi, penyampai radio Hot FM,  Liza sudah mula merasa debar itu.

Walaupun baru bergelar penyampai radio, namun Liza atau nama sebenarnya Khairu Norliza Khairudin bersyukur kerana kerjayanya itu disokong penuh bakal suaminya.

Bertuah kerana bakal suaminya, Mohd Khairil Mohd Ghany, menyokong kariernya sebagai penyampai radio, Liza tidak mahu mensia-siakan kepercayaan yang diberikan.

“Bergelar penyampai radio meskipun tidak sepopular pelakon atau penyanyi tetapi kami juga golongan selebriti.

“Kerana itu, restu bakal suami untuk meneruskan kerjaya ini selepas berkahwin amat diperlukan,” katanya.

Majlis pernikahan pasangan ini akan berlangsung di Kuantan, Pahang pada 27 Februari ini.  Menurutnya, keperibadian bakal suaminya yang memahami antara faktor dia memilih Mohd Khairil sebagai teman hidup.

“Dia seorang berterus-terang dan senang berkomunikasi. Biasanya, dia juga tenang berhadapan perkara di luar dugaan.

“Kalau ada gosip atau khabar angin melibatkan saya, dia tidak mudah melatah.

“Kalau ikutkan, perkenalan kami tidak lama, tetapi keserasian terbina sangat baik dan saya bersyukur bertemu dengannya,” katanya.

Liza memberitahu, Khairil merupakan seorang pelatih peribadi dan kurang selesa menjadi perhatian masyarakat sebelum mereka berkahwin.

Liza dan Khairil berkenalan selama setahun dan bertunang pada 10 Oktober 2015.

Mengulas mengenai tanggungjawabnya sebagai isteri nanti, katanya, dia sudah bersedia menggalas tanggungjawab tersebut.

“Apa sahaja perkara baharu dalam kehidupan harus diterima dengan terbuka, mungkin selepas ini saya lebih sibuk kerana perlu berhadapan tanggungjawab lain,” katanya.

Liza juga bakal bersama stesen radio lain di bawah Media Prima bermula Mac nanti.

“Ini juga pengalaman baharu untuk saya, saya harap langkah ke stesen baharu tersebut mendapat respons baik daripada pendengar,” katanya.

Leave a Comment