Luahan Yatt sebelum perkahwinan kedua esok

Sharing is caring!

Sehari sebelum bergelar isteri buat kali kedua, pelakon, Yatt Hamzah, sempat memuat naik status berupa luahan hati penuh makna ke laman sosial bergambar Instagram miliknya. Menerusi kemas kini terbaharu di laman sosial berkenaan, Yatt yang turut menyertakan sekeping gambar bersama anak perempuannya, Suci Hanania Malika (Nia), menyatakan dirinya ingin membuka lembaran baharu dalam kehidupan, selain reda dengan tindakan pihak yang membuka aib dirinya. “Biarlah apa mereka nak kata, yang penting Nia dan Bonda (panggilan Nia kepada Yatt), akan tetap bersama selamanya. Tiada yang dapat pisahkan kita kecuali mati. Tiada satu apa pun yang dapat dan mampu memisahkan kita kecuali mati. Allah itu Maha Tahu, Maha Adil, Maha Berkuasa, Maha Penyayang. “Mereka ada senjata lidah dan jari, kita ada senjata doa. Kita ada Allah,” tulis Yatt di laman bergambar berkenaan. Tulis wanita ini lagi, biarlah ramai yang mengaibkan mereka asal dia dan anaknya tidak berbuat begitu terhadap insan lain. “Itu janji kita, kerana hanya Allah yang memegang aib hamba-Nya. Siapa kita untuk aibkan orang lain? Bukan hak kita. Biarlah mereka nak kata apa. Walaupun mereka tidak tahu apa-apa, kerana kita ada Allah yang tahu segala-galanya. Hanya Allah…cukup bagi kita Allah ada. Senyum dan bergembiralah sayangku Nia kerana esok hari bahagia kita. Insya-Allah. “Ampun maaf salah khilaf wahai saudaraku. Semoga Allah ampunkan dosa kita. Mohon doakan Allah permudahkan urusan kami dunia akhirat. Amin,” katanya. Pagi esok, Yatt, 36, bakal berkahwin dengan juruvideo, Mohammad Zulfadhli Khiruddin, 26, di sebuah masjid di Shah Alam. Sebelum ini, bekas suaminya, Abdul Mutalib Abdul Shukor, tampil mendakwa Zulfadhli ialah orang ketiga yang menyebabkan keruntuhan rumah tangga mereka. Yatt bagaimanapun menafikan bekas suaminya itu. Yatt dan Abdul Mutalib bernikah pada 29 Mac 2009 dan berpisah pada Ogos tahun lalu.

Leave a Comment