7 Jam Paling Seram

Sharing is caring!



7 jam paling seram

Anak mengamuk tuduh ibu amal sihir

MELAKA – Seorang warga emas bersama menantu perem­puan dan tiga orang cucunya mengalami detik paling mengerikan apabila anak lelakinya sendiri tiba-tiba mengamuk dan menjadikan mereka sebagai tebusan selama lebih tujuh jam dalam kejadian di Taman Duyong Indah di sini malam kelmarin.

Dalam drama tebusan bermula pukul 7.15 malam kelmarin, suspek berusia 30-an itu dikatakan mengamuk dan mengurung lima ahli keluarganya di dalam rumah mereka selepas menuduh ibunya berusia 62 tahun dan isterinya berumur 44 tahun telah melakukan sihir ke atas dirinya.

Sebelum menawan ahli keluarga sendiri itu, suspek didakwa telah mengheret isterinya di luar rumah sejauh kira-kira 500 meter sebelum menghentak kepala mangsa pada cermin belakang kereta milik jiran.

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, polis yang pada mulanya menggunakan pendekatan memujuk mangsa bagaimanapun terpaksa menyerbu dan menahan suspek yang bersenjatakan parang pada pukul 2 pagi selepas dia bertindak semakin ganas memukul ibu, isteri dan tiga orang anaknya.

7 jam paling seram

Melaka: “Jika ditakdirkan polis menembaknya, semalam (kelmarin), saya reda kerana sudah tidak tahan melihat menantu dan cucu menanggung derita diseksanya,” kata Laila Abdullah, 63, ibu kepada lelaki yang mengamuk dan menjadikan dirinya, menantu dan tiga cucu sebagai tebusan dalam kejadian di Duyong Indah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam, suspek yang berusia 30-an dikatakan bertengkar dengan ibunya dan isteri berusia 44 tahun sebelum mengurung dan mengancam mereka menggunakan parang panjang yang berukuran 0.6 meter.

Menurutnya, sejak sebulan lalu, dia mula menyedari perangai anaknya berubah apabila kerap memukul isterinya walaupun tanpa sebab munasabah.



Katanya, tindakan suspek itu benar-benar di luar jangkaan apabila sanggup memukul dan menyepak ibu, isteri dan anaknya, malah suspek turut memaksa ibunya mengaku menyihirnya.

“Nenek mana sanggup melihat cucu yang masih kecil dipukul, disepak dan dihempas ke lantai. Ketika melihat tiga beradik itu diperlakukan begitu, hanya air mata yang keluar selain tidak henti berdoa anak saya dilembutkan hati untuk melepaskan kami.

“Kerana tidak tahan melihat perbuatan anak, saya sudah tidak kisah sekiranya polis mahu menembaknya asalkan kami bebas dan saya tidak sanggup melihat dia mengacukan parang ke arah isteri dan anak sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.




Leave a Comment