Cerita pengalaman

Sharing is caring!

Kejayaan band dari Denmark, Lukas Graham menduduki pertama di carta Official Singles United Kingdom membuktikan lagu menceritakan pengalaman hidup turut digemari ramai.

Mempertaruhkan 7 Years sebagai single terbaru, mereka berjaya mengatasi beberapa nama besar dalam carta itu antaranya Zayn Malik, Rihanna, Shawn Mendes dan Justin Bieber.
Kumpulan dianggotai Lukas Graham Forchhammer (penyanyi), Kasper Daugaard (keyboard), Magnus Larsson (bass) dan Mark Falgren (dram) turut berada di kedudukan tinggi dalam beberapa carta lagu di Eropah dan Australia.
Dalam temu bual menerusi telefon bersama RAP baru-baru ini, Forchhammer, 27, berkata, menghasilkan lagu mengenai cinta membosankan.
“Bukan bermaksud saya benci lagu cinta. Sebenarnya saya menggemari lagu seperti itu dan mengetahui pendengar turut menyukainya.
“Namun, sesiapa saja boleh menulis lagu cinta, cuma saya lebih selesa menulis mengenai pengalaman hidup dan bukan perkara yang subjektif.
“Mungkin lain kali saya akan cuba mencipta lagu cinta,” katanya kepada RAP.
Bercerita mengenai single 7 Years yang kini mencecah lebih 17 juta tontonan di YouTube, Forchhammer berkata, lagu itu berkisar mengenai dirinya melalui alam kanak-kanak ke fasa dewasa.
“Lagu ini mengisahkan saya membesar, mempunyai rakan dan mencari matlamat penting dalam hidup,” katanya.
Istimewanya, penyanyi berasal dari Copenhagen, Denmark itu turut menyelitkan kisah bersama bapanya yang meninggal dunia pada usia 61 tahun.
“Saya menyedari kepentingan kehadiran seorang bapa dalam hidup. Suatu hari nanti, saya ingin merasai pengalaman sebagai bapa,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai band itu, Forchhammer berkata, keputusan menggunakan namanya adalah tepat kerana lagu yang dibawa mengisahkan mengenai dirinya.
“Saya menulis lagu yang juga menceritakan kehidupan sendiri , jadi anggota lain tiada masalah menggunakan nama saya.
“Apabila membuat persembahan di pentas, kami tampil sebagai sebuah kumpulan.
“Lama-kelamaan, pasti pendengar mengenali kami sebagai sebuah kumpulan,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Forchhammer berkata, Lukas Graham bakal mengadakan konsert jelajah di beberapa lokasi di Amerika Syarikat, Kanada dan Denmark mulai Mac ini.
“Kami tidak sabar bertemu dengan peminat. Kami dimaklumkan tiket bagi 12 konsert di Amerika Syarikat sudah pun habis dijual kesemuanya.
“Kejayaan yang dicapai sekarang menandakan usaha keras kami selama beberapa tahun akhirnya membuahkan hasil,” katanya.
Ketika ditanyakan mengenai perancangan kumpulan itu untuk tahun ini, Forchhammer mendedahkan dirinya bukan jenis yang membuat perancangan masa hadapan.
“Saya lebih suka memikirkan masa kini kerana terlalu banyak yang kami perlu memikirkan untuk karier nyanyian.
“Jadi, saya menyerahkan tugas itu kepada syarikat rakaman untuk tentukan. Saya dan anggota kumpulan lain hanya perlu menghiburkan peminat,” katanya.

Leave a Comment