Yuna perkenal single pertama bersama DJ Premier

Sharing is caring!

Bakal muncul dengan album ketiga, Chapters yang akan dilancarkan pada 20 Mei depan menerusi Verve Records, penyanyi kelahiran Malaysia yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat, Yunalis Zarai atau Yuna terlebih dulu memperkenalkan single pertamanya, Places To Go. Lagu yang menyaksikan Yuna, 30, bekerjasama dengan DJ Premier itu menjadi bualan apabila diperkenalkan di negara ini menerusi Vevo sejak 19 Februari lalu. Yuna, dalam satu temu bual bersama FADER, berkata Places To Go menterjemahkan perasaan seseorang yang semakin mekar dalam diri insan yang ditakdirkan untuknya. “Ada ketika, kita akan melalui semua ini dan ia mengubah diri terutama apabila kita berdepan dengan kesukaran untuk mendepani cabaran. Saya terharu dapat bekerja dengan DJ dan penerbit legenda itu. “Saya bagaikan tidak percaya mempunyai lagu bersamanya, malah ia antara sentuhan terbaik yang pernah saya hasilkan,” katanya. DJ Premier ialah seorang DJ dan komposer terkenal yang pernah menerbitkan album untuk The Notorious B.I.G., Christina Aguilera, Kanye West, Jay Z, Limpi Bizkit dan Busta Rhymes. Terdahulu, Yuna mengumumkan album terbaharunya itu akan memuatkan 12 lagu selain menampilkan kerjasamanya bersama bintang R&B, Usher menerusi Crush dan David Foster. Sebelum ini, Yuna menghasilkan empat album untuk pasaran tempatan iaitu Yuna (2008), Decorate (2010), Terukir Di Bintang (2012), dan Material (2015). Chapters adalah album antarabangsanya yang ketiga menyusuli Yuna yang dihasilkan pada tahun 2012 dan Nocturnal (2013). Yuna yang bakal memulakan kembaranya menjelajah Amerika Syarikat pada April ini pernah merakamkan dua EP iaitu Decorate (2011) dan Sixth Street (2013).

Leave a Comment