
Selepas menyertai program Maharaja Lawak Mega 2014 bersama kumpulan Ekzos, nama Raja Azrey kembali menjadi sebutan peminat. Pemilik nama sebenar Raja Azri Raja Kamaruzzaman ini pernah popular menerusi drama Blok 404 pada 2003 yang turut melonjakkan Nabila Huda dan Zamarul Hisham.
Pelakon yang berbakat dalam bidang nyanyian dan aktif di pentas teater bersama kumpulannya, Geliga Merah Opera (GMO) kini mencuba nasib dalam Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM2016) menerusi kumpulan Enjen yang turut dianggotai Acong dan Yus Tapah.
Buat pertama kalinya, Enjen menerima lima Ha (bintang) pada cabaran MLM minggu lalu dan ini cukup menggembirakan. Pun begitu, Raja Azrey mengakui Enjen perlu berusaha lebih keras jika mahu ramai peminat seperti kumpulan Bocey dan LOL.
“Pada minggu pertama dan ketiga, kami berjaya dapat tiga Ha. Manakala minggu kedua dan keempat kami meraih empat Ha.
“Syukur, ia membuktikan Enjen konsisten setiap minggu cuma kami kurang sokongan peminat dan ini agak membimbangkan. Saya akui susah untuk dapat undian peminat dan selalunya kami di kedudukan paling corot.
“Selepas juri beri lima Ha, diharap peminat mula nampak kebolehan Enjen dan sudi mengundi kami,” katanya.
Menurutnya, Enjen kini hanya bergantung harap sokongan pemiant GMO, kelab peminat Acong dan Yus.
“Sokongan itu belum mencukupi jika mahu bertahan lama dalam MLM2016. Setakat ini kami bertahan kerana markah juri yang tinggi manakala undian peminat agak mengecewakan. Saya bimbang jika kami gagal beraksi dengan baik dan juri beri markah rendah.
“Jika itu berlaku dan tiada pula sokongan peminat, tidak mustahil Enjen akan tersingkir. Disebabkan itulah kami sangat memerlukan undian peminat.
“Cuma ada tujuh minggu lagi untuk ke final dan diharap peminat dapat menilai bakat Enjen dengan seadil-adilnya,” katanya.
Jelas Raja Azrey, sebulan sebelum bertanding, dia, Acong dan Yus sudah menyiapkan skrip untuk MLM2016.
“Ini cara saya bekerja. Bagaimanapun ketika pertandingan, cabarannya lebih hebat sehinggakan kami terpaksa merombak semua skrip.
“Saya dan Acong perlu membimbing Yus kerana dia masih baru. Alhamdulillah dia sudah ada peningkatan dalam persembahannya,” kata Raja Azrey.
Rai anak yatim
Pembabitannya dalam MLM2016 membawa tuah apabila dia dilamar menjadi duta satu jenama pakaian.
“Saya bertemu pemilik jenama ini iaitu Fairuz Legend ketika terbabit dalam MLM dan dia berminat melantik saya sebagai duta. Saya nampak jenama ini ada potensi untuk berkembang dan bersetuju menerima tawarannya.
“Selagi Enjen berada dalam MLM2016, saya akan cuba promosikan jenama ini sebaiknya. Selepas program ini melabuhkan tirai kami akan bincang strategi lain pula. Selain itu, saya mencadangkan Fairuz meraikan anak yatim sebagai tanda kesyukuran dan dia bersetuju.
“Sebagai permulaan, kami memilih meraikan anak-anak Pertubuhan Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR) di Subang Jaya. Saya simpati dengan nasib mereka dan akan menjadikan program ini acara bulanan.
“Insya-Allah selepas ini kami akan meraikan anak yatim di tempat lain pula. Sekurang-kurangnya kehadiran saya dan rakan-rakan menceriakan anak-anak kecil ini,” katanya yang mesra melayan penghuni RACTAR dalam acara terbabit, Sabtu lalu.