
“Pakcik,Tolong Selamatkan Saya”
HENAN : Seorang budak perempuan yang kakinya digilis sebuah lori membawa muatan batu seberat 40 tan bukan sahaja tidak menangis dan meraung tetapi dengan tenangnya, meminta bantuan daripada orang ramai.
Portal akhbar People Daily China di www.people.com.cn melaporkan dalam kejadian pada 9 Ogos lalu, budak perempuan berumur 11 tahun dari wilayah Henan, China, itu digilis oleh sebuah lori besar menyebabkan dia terperangkap dan tidak boleh bergerak.
Pasukan keselamatan yang tiba di tempat kejadian mendapati budak tersebut dalam keadaan parah dengan sebahagian badannya dipenuhi darah manakala di tepinya ditemui sebuah beg sekolah yang dicemari darah serta buku teks bertaburan atas jalan.
Walaupun dalam kesakitan, budak perempuan tersebut bagaimanapun tetap tenang dan meminta pertolongan daripada orang ramai.
“Saya tak sakit, pakcik tolong selamatkan saya,” kata budak perempuan itu secara tenang kepada pegawai bomba yang datang untuk menyelamat.
Budak perempuan tersebut kemudiannya dihantar ke hospital untuk rawatan kecemasan, kaki kanannya dilaporkan terpaksa dipotong kerana mengalami kecederaan teruk.
Budak perempuan berani itu kini masih dipantau di unit rawatan rapi di hospital.